Berita

Selepas puluhan tahun menanti, 164 pesara Lembaga Pelabuhan Sabah bakal terima wang pencen

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Selepas puluhan tahun menunggu, akhirnya penantian 164 bekas pekerja Lembaga Pelabuhan Sabah untuk mendapatkan wang persaraan mereka membuahkan hasil.

Hal ini dinyatakan Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong Tien Fatt pada Selasa lalu yang melakukan pertemuan dengan Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani di Parlimen bagi membincangkan perkara tersebut.

Dalam pertemuan itu, Johari telah berjanji untuk menyerahkan wang persaraan itu kepada Lembaga Pelabuhan Sabah dalam tempoh seminggu untuk diagihkan kepada semua 164 bekas pekerja.

“Bagaimanapun, saya akan terus menyusul perkembangan proses itu dan berharap pihak berkenaan dapat memulangkan pencen secepat mungkin.

Ahli Parlimen Sandakan merangkap Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong Tien Fatt.

“Ramai antara bekas pekerja itu telah meninggal dunia dan belum mendapat pencen. Kumpulan bekas pekerja ini telah berkali-kali cuba dapatkan wang mereka, tetapi ditolak oleh pihak berkenaan,” ujar Stephen.

Menurut Ahli Parlimen Sandakan itu, isu penahanan wang persaraan pekerja Lembaga Pelabuhan Sabah ini telahpun dibawa ke peringkat Parlimen sejak tahun 2015.

Ia tercetus apabila bekas pekerja agensi itu tidak mendapat dividen dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memandangkan pada waktu itu skim tersebut masih belum diperkenalkan.

Justeru, pakej pencen mereka telah diuruskan oleh Syarikat Insurans Great Eastern bermula 1 Julai 1969 sehingga 1 Mac 1981.

“Di bawah undang-undang, pencen itu patut dipulangkan kepada KWSP supaya kumpulan pesara itu mendapat pencen mengikut skim KWSP.

“Tetapi, disebabkan salah transaksi, wang itu dipindah ke KWAP (Kumpulan Wang Persaraan) dan bukan KWSP. Lalu pelbagai masalah mulai timbul.

“Saya amat berharap masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin supaya mereka dapat menikmati hidup selepas bersara dengan baik,” ujarnya. – Roketkini.com