Berita

DAP akur usul pertikaian Malaysia-Korea Utara ditolak demi keselamatan negara

KUALA LUMPUR, 9 MAC: DAP akur dengan keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul bagi membincangkan pertikaian diplomatik antara kerajaan Malaysia dan Korea Utara.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Antarabangsa DAP, V. Sivakumar memetik Pandikar sebagai berkata bahawa penolakan usul tersebut dibuat atas faktor keselamatan.

Sivakumar turut memetik Pandikar sebagai berkata bahawa terdapat kebimbangan jika sebarang tindakan bercanggah dengan usaha berkenaan boleh mengakibatkan penyelesaian krisis itu menjadi semakin sukar.

Ahli Parlimen Batu Gajah itu bagaimanapun berharap kerajaan dapat menyelesaikan pertikaian itu dengan segera dan meminta supaya semua anggota Parlimen dimaklumkan mengenainya dari semasa ke semasa.

“Kami amat berharap kerajaan akan menggunakan segala peluang yang ada untuk menyelesaikan isu ini secara diplomatik dalam tempoh yang terdekat. Isu ini adalah amat serius dan menimbulkan kebimbangan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

DAP sebelum ini mencadangkan supaya misi pendamai melibatkan kerajaan dan pembangkang ditubuhkan bagi membantu membebaskan rakyat Malaysia yang terperangkap di Korea Utara.

Sehingga kini, hanya dua daripada 11 rakyat Malaysia yang terkandas di Korea Utara dibenarkan pulang hari ini. Kedua-dua mereka adalah petugas di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Sekatan yang dikenakan Pyongyang terhadap rakyat Malaysia itu berikutan pengusiran Duta Korea Utara di Malaysia ekoran kritikannya terhadap siasatan pihak berkuasa negara ini terhadap kematian Kim Jong-nam, adik tiri kepada pemimpin republik itu, Kim Jong-un. – Roketkini.com