Berita

MB Johor cakap ‘putar belit’, Adun DAP pula dihalau keluar dewan

JOHOR BAHRU, 9 MAC: Hanya kerana mempersoalkan kenyataan bercanggah Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berhubung skandal hartanah negeri, seorang Adun DAP diarahkan keluar dari dewan sebentar tadi.

Adun Pekan Nanas, Yeo Tung Siong diminta keluar apabila Speaker DUN, Tan Sri Mohamad Aziz menolak usul tergempar yang meminta Khaled menjelaskan kenyataan bercanggahnya mengenai pelepasan status lot Bumiputera di negeri itu.

Sedangkan, usul tergempar itu adalah mengikut peraturan mesyuarat Majlis-majlis Mesyuarat 32(8).

Tung Siong ketika dihubungi Roketkini berkata, sidang itu sepatutnya digunakan Khaled bagi menjelaskan skandal itu secara terperinci kepada semua wakil rakyat yang mungkin keliru dengan isu tersebut.

Menurutnya, Khaled baru-baru ini memberitahu media hanya 3,000 unit rumah Bumiputera yang ditukar status ke lot antarabangsa sejak 2013.

Namun, berdasarkan jawapan bertulis Khaled kepada Adun Bukit Batu, Jimmy Puah pada April tahun lalu, sebanyak 4,503 unit yang mengalami pelepasan status.

“Kerana itu, wakil-wakil rakyat pembangkang jadi keliru dengan kenyataannya. Bagaimana pula jumlah rumah yang ditukar status itu berkurang sedangkan hampir setahun sudah berlalu?” katanya.

Penolong Setiausaha Organisasi DAP Johor itu menambah, reaksi Kerajaan Negeri Johor yang terlalu pasif dalam menangani penyelewengan kuota Bumiputera terbabit turut menimbulkan persoalan di kalangan Adun.

“Isu ini telah mencemarkan integriti dan ketelusan Kerajaan Negeri, justeru perlu dipulihkan secepat mungkin.

“Tapi dalam kes ini, Khaled tidak pun mengambil langkah yang drastik. Malah, (beliau) berkata serahkan saja siasatan kepada SPRM,” ujarnya.

Wakil pembangkang DUN Johor sebelum ini juga telah mengemukakan usul supaya Kerajaan Negeri menubuhkan Jawatankuasa Terpilih bagi menyiasat kes rasuah hartanah itu, namun ditolak Speaker. – Roketkini.com