Berita

Usul tubuh jawatankuasa teliti skandal tanah Johor ditolak, MB elak jawab soalan

JOHOR BAHRU, 9 MAC: Usul supaya Kerajaan Negeri Johor menubuhkan Jawatankuasa Terpilih bagi meneliti kes skandal rasuah hartanah yang berlaku baru-baru ini sekali lagi ditolak Speaker DUN, Tan Sri Mohamad Aziz hari ini.

Aziz mendakwa, kes itu tidak wajar dibincangkan memandangkan ia sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menyifatkan alasan itu sebagai dangkal, Adun Mengkibol, Tan Hong Pin berkata, penubuhan Jawatankuasa Terpilih berkenaan adalah perkara yang berlainan malah tidak akan mengganggu siasatan SPRM.

“Seperti (Kerajaan Negeri) Selangor, mereka ada banyak Jawatankuasa Terpilih berkenaan dengan isu-isu tertentu,” katanya kepada Roketkini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terbaru skandal hartanah Johor berhubung penahanan Exco kerajaan negeri, Datuk Abd Latif Bandi oleh SPRM pada jam 11 pagi tadi di pejabat agensi itu di sini.

Dalam perkembangan berlainan, Hong Pin yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Johor berkata, pihak pembangkang hari ini turut meminta supaya kerajaan negeri menjelaskan mengenai isu pertukaran 3,000 rumah berstatus kuota Bumiputera kepada status lot antarabangsa.

Bagaimanapun, katanya, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin gagal memberikan sebarang jawapan malah pihak pembangkang diejek oleh Adun Barisan Nasional (BN) ekoran pertanyaan itu.

“Saya dan Adun Pekan Nenas yang selepas itu dihalau oleh Speaker, membangkitkan mengenai perkara itu namun gagal mendapat sebarang jawapan daripada menteri besar.

“Kami mempersoalkan dari mana datangnya RM600 juta yang dikutip kerajaan negeri daripada pemaju kerana menurut perkiraan kami, jika kerajaan mengutip 7.5 peratus daripada harga hartanah ia bermakna pemaju membayar RM2 juta kepada kerajaan negeri.

“Tetapi mana ada lot rumah di Johor ini dengan harga setinggi itu jika perkiraan 100 peratus diambil?” soalnya.

Khaled seperti dilaporkan media Sabtu lalu berkata hasil RM600 juta pertukaran status hartanah 3,000 unit rumah itu disalurkan ke Tabung Hartanah Bumiputera dan kemudiannya digunakan untuk membina lebih 6,000 unit rumah mampu milik Johor (RMMJ).

Dia turut menyatakan bahawa hasil kutipan itu adalah sumbangan daripada penetapan sebanyak 7.5 peratus yang mesti dipenuhi pemaju dalam membuat permohonan bagi pertukaran status tersebut.

Mengulas lanjut, Hong Pin berkata, pihaknya tidak ada masalah sekiranya dana yang disimpan dalam tabung Bumiputera berkenaan digunakan sebaiknya bagi membantu golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah.

Namun, katanya, beliau tidak mahu dana berkenaan disalahgunakan berikutan skandal rasuah hartanah yang berlaku itu.

“Saya berharap ia tidak disalahgunakan, dan sebarang prosedur mengenainya diperketatkan dan bantuan itu diberikan kepada mereka yang betul-betul memerlukan,” katanya. – Roketkini.com