Berita

Bosan tunggu janji PBRS, orang kampung gotong-royong baiki jambatan gantung

PENSIANGAN, 11 MAC: Akibat sudah bosan menunggu janji Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS-BN), penduduk Kampung Kilo dekat sini akhirnya membuat keputusan bergotong-royong membaiki jambatan gantung yang rosak di kampung mereka.

Apa yang menghairankan, walaupun masalah itu sudah diadukan sejak sebelum pilihan raya umum ke-13 lalu, parti yang diwakili Tan Sri Joseph Kurup itu gagal menjalankan tanggungjawabnya.

Menurut Penyelaras DAP Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid, Robinson Rusikan, beliau hairan dengan sikap tidak peduli yang ditunjukkan menjalankan tanggungjawab mereka di sini.

Robinson Rusikan, Penyelaras DAP DUN Tulid

“Walaupun projek pembaikan jambatan ini bukanlah berstatus mega, kelalaian pihak kerajaan ini mampu mengundang bencana terhadap penduduk kampung.

“Adakah kebajikan penduduk kampung tidak menjadi keutamaan kerajaan? Perlukah penduduk kampung mengalami bencana baru kerajaan mahu memberikan perhatian?” soalnya yang turun padang bersama penduduk membaik pulih jambatan gantung tersebut.

Menurut salah seorang penduduk, Wilis Sanadon,  masalah itu dibiarkan tanpa tindakan oleh PBRS walaupun aduan sudah dibuat lima tahun lalu.

“Janji PBRS untuk jaga kebajikan rakyat hanya janji! Sudah lebih lima tahun takkan tiada peruntukkan lagi?

“Kami sudah bosan menunggu. Kami tidak mahu ada kemalangan berlaku. Harap PBRS, janji saja. Terimakasih DAP Pensiangan sebab perihatin dan membantu kami,” katanya.

Selain masalah itu, Kampung Kilo yang terletak di Mukim Lanas juga berdepan dengan masalah bekalan elektrik yang sering terganggu. -Roketkini