Berita

DAP sokong penuh usaha kerajaan selesai krisis dengan Korea Utara

KUALA LANGAT, 11 MAC: DAP menyokong penuh usaha kerajaan menyelesaikan krisis dengan Korea Utara dan menguruskan kepulangan sembilan rakyat Malaysia yang dihalang keluar dari negara itu dengan selamat.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, dalam hal ini rakyat Malaysia harus teguh menyokong kerajaan melakukan rundingan dengan negara asing tersebut.

“Kita tidak boleh biarkan mana-mana negara asing mengambil kesempatan mengeksploitasi sebarang isu dalaman negara ini demi kepentingan mereka,” katanya berucap dalam Program Jelajah Desa DUN Teluk Datuk dekat Kampung Seri Cheding di sini.

Beliau dalam masa yang sama mengulas krisis politik yang melanda Korea Selatan di mana presidennya, Park Geun-hye telah diputuskan mahkamah supaya dipecat.

“Apa yang harus kita pelajari dari perkara ini, Malaysia perlu sentiasa menjunjung kedaulatan undang-undang dan Perlembagaan supaya tidak terjerumus ke dalam kancah huru-hara politik.

“Malah, ramai rakyat Malaysia bertanya sama ada adakah pemecatan presiden Korea Selatan akibat rasuah dan salah guna kuasa itu boleh berlaku di negara ini,” ujarnyai.

Menurut Kit Siang, perkara itu hanya boleh berlaku di Malaysia dengan jika wujudnya kedaulatan undang-undang, keluhuran Perlembagaan, pemisahan kuasa dan institusi kehakiman yang bebas.

“Korea Selatan sebelum ini negara mundur baik dari segi politik mahupun ekonomi 60 tahun lalu apabila negara kita capai kemerdekaan.

“Namun, sekarang negara tu telah jauh meninggalkan Malaysia bukan sahaja dalam ekonomi dan pembangunan malah  demokrasi negara itu bebas dari pemerintahan dictator.

“Dan sebab inilah mengapa negara kita jauh keterbelakang dari Korea Selatan,” katanya lagi.

Dalam program itu, seramai kira-kira 80 keluarga sekitar DUN Teluk Datuk diraikan dengan pemberian voucher beli-belah yang disampaikan Kit siang dan pempipin Pakatan Harapan.

Acara yang bermula pada jam 9.30 pagi tadi turut melakukan ziarah ke beberapa buah rumah keluarga kurang berkemampuan.

Turut menjadi tetamu khas Program Jelajah Desa DUN Teluk Datuk ialah Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua, Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Abdulllh Sani dan ramai lagi. -Roketkini.com