Berita

Ziarah Lim Kit Siang, Pak Samad Said ukir senyuman keluarga enam beranak

KUALA LANGAT, 13 MAC: Siapa sangka, pagi itu Suraya Ahmad, 34, menerima tetamu yang berziarah ke teratak kecilnya tidak jauh dari masjid Kampung Seri Cheding.

Sebaik rombongan tiba depan pintu rumah, dia keluar bersama anak sulungnya yang lantas menghulur salam kepada dua tetamu itu.

Ibu kepada lima anak itu, mengukir senyum disapa Lim kit Siang dan Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said dalam program Jelajah Desa DAP Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Datuk.

Namun, senyumnya itu tidak dapat menutup sayu raut wajahnya, mungkin ada resah menyelubungi fikiran, memikirkan masa hadapan anak-anak.

“Apa khabar…” sapa Kit Siang.

“Baik, terima kasih sebab datang,” jawabnya.

Suraya tinggal dalam rumah kecil sumbangan pusat zakat membesarkan anak-anaknya yang masih kecil dan bersekolah.

Rumahnya tidak berkipas, tiada meter elektrik dan terpaksa ‘tarik elektrik’ berkongsi dengan rumah abangnya yang juga berkeadaan uzur beberapa meter dari rumahnya.

Dia terpaksa melakukan pelbagai kerja memandangkan suaminya tidak mempunyai pekerjaan tetap dengan jumlah pendapatan keluarga sekitar RM800 sehingga RM900 sebulan.

Sebelum ini Suraya menjual kuih kecil-kecilan. Namun, sejak perniagaannya merosot dan tidak menguntungkan, dia tidak lagi mengusahakannya.

“Dulu meniaga masih boleh menyimpan.

“Lepas itu bila barang dah banyak naik, ada GST lagi, boleh setakat pusing-pusing modal sahaja, terasa sangat beban tu,” ujarnya kepada Roketkini.

Sebelum rombongan beransur ke lokasi lain, Pak Samad sempat menegur anak sulung Suraya yang kelihatan segan-segan, namanya Aiman berusia 16 tahun.

“Apa cita-cita anak?” soal Pak Samad.

“Jadi bomba,” jawabnya ringkas tersenyum.

“Belajarlah rajin-rajin, bantu keluarga,” kata bapak lagi.

Ziarah Lim Kit Siang dan Pak Samad pada kali ini merupakan siri Jelajah Desa DAP yang bertujuan meraikan keluarga yang berpendapatan rendah dengan sedikit sumbangan barangan keperluan rumah.

Selain program ziarah keluarga miskin, program ini turut mengadakan program penyampaian bantuan di Dewan Dato Hormat dan Dewan Kampung Manggis. -Roketkini.com