Berita

Kit Siang jawab tiga ‘fitnah ala Nazi’ UMNO terhadap DAP

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang hari ini tampil menjelaskan tiga penipuan besar ala Nazi (“Big Nazi Lies”) dan berita palsu yang diucapkan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak pada 30 November lalu.

Tiga fitnah itu menurut Kit Siang antara lain menuduh bahawa DAP kononnya anti-Melayu dan anti-Islam; menyatakan bahawa pilihan raya umum (PRU) ke-14 akan menjadi pertandingan antara DAP dan UMNO; dan kehilangan kuasa Melayu sekiranya UMNO tumbang.

“Inilah tiga ‘Big Lies’ yang sesuai dengan definisi Hitler/Goebbels bahawa jika anda memberitahu satu pembohongan cukup besar dan terus mengulanginya, orang akhirnya akan mempercayainya,” katanya dalam ucapan di Parlimen, hari ini.

Beliau menegaskan bahawa PRU-14 bukanlah medan pertempuran antara UMNO dan DAP sebaliknya antara Barisan Nasional (BN) yang diketuai UMNO dan Pakatan Harapan bersama-sama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Pertempuran itu adalah untuk menyelamatkan Malaysia daripada kleptokrasi dengan mempertahankan prinsip-prinsip asas Perlembagaan yang demokratik, adil serta sebuah negara yang majmuk dan bersatu,” katanya.

Malah, Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, DAP bukanlah anti-Melayu atau anti-Islam dan tidak pernah menjadi parti Cina sejak penubuhannya 50 tahun yang lalu.

“Kami komited kepada prinsip dan visi sebagai sebuah parti Malaysia yang diketuai oleh rakyat Malaysia dan berkhidmat demi kepentingan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama atau wilayah,” katanya.

Beliau berkata, orang Melayu tidak akan berhadapan “mimpi ngeri” sekiranya UMNO hilang kuasa dalam PRU-14 akan datang.

“Kerana Najib hanyalah mahu mewujudkan ketakutan dan rasa panik di kalangan orang Melayu bahawa mereka akan kehilangan kuasa politik kepada orang Cina.

“Jika Najib tewas dalam PRU-14, Perdana Menteri akan kekal Melayu dan beragama Islam dan bukannya seorang bukan-Islam atau bukan-Melayu,” tegasnya. – Roketkini.com