Berita

Jawatan saya dipilih rakyat, Rosmah tidak – Guan Eng

GEORGE TOWN, 16 MAC: Ketua Menteri, Lim Guan Eng hari ini berkata beliau tidak harus dibandingkan dengan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berhubung jawatan yang dipegangnya.

Hal ini kerana beliau dipilih oleh rakyat, manakala Rosmah sebaliknya.

“Saya pegang jawatan kerana saya Ketua Menteri dan jawatan Ketua Menteri dipilih oleh rakyat.

“Rosmah tidak dipilih oleh rakyat, beliau bukan wakil rakyat dan tidak ada apa-apa jawatan.

“Jangan bandingkan seseorang yang tak ada jawatan kecuali sebagai isteri perdana menteri dengan jawatan yang dipegang oleh semua menteri besar dan ketua menteri,” katanya dalam sidang media di Komtar, tadi.

Guan Eng berkata demikian mengulas kenyataan pembantu khas Rosmah, Datuk Rizal Mansor yang mahu menjustifikasi pelantikan Rosmah sebagai penaung Permata.

Rizal mendakwa Setiausaha Agung DAP itu dilantik sebagai pengerusi eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang walaupun bukan seorang pakar pengurusan air.

Jadi, menurutnya, Rosmah juga layak menjadi penaung Permata.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Hanipah turut mempunyai beberapa jawatan di negeri itu kerana kedudukannya yang dipilih rakyat.

“Tidak kira latar belakang pendidikannya, Ahmad Bashah memegang jawatan dalam kerajaan negeri kerana beliau menteri besar.

“Jadi, jangan heret saya dalam isu ini kerana situasi kami (Guan Eng dan Rosmah) berbeza. Jawatan kami (Ahmad Bashah dan Lim) selaras dengan kedudukan sebagai ketua menteri dan menteri besar,” ujarnya. – Roketkini.com