Berita

DAP Pulau Pinang lancar jentera PRU-14

GEORGE TOWN, 18 MAC: DAP Pulau Pinang hari ini melancarkan jentera pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) dengan tema “Menjamin masa depan negeri Pulau Pinang” di Dewan The Top Komtar dekat sini.

Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dalam ucapannya berkata, tema itu dipilih sebagai menandakan pengalaman dan pegangan politik DAP bersama-sama parti komponen lain Pakatan Harapan dalam mentadbir negeri sejak 2008.

“Sebagai parti pemerintah selama dua penggal ini, kita telah berjaya membawa perubahan yang ketara dan menyediakan satu landasan yang kukuh untuk terus membawa perubahan yang dapat membawa kesejahteraan dan menjamin masa depan negeri kita.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengibarkan bendera parti

“Dengan pengalaman dan kejayaan yang kita perolehi, kita merasa yakin untuk menghadapi PRU-14 yang akan datang dan ingin berusaha bersama semua rakyat negeri Pulau Pinang demi menjamin masa depan negeri kita,” katanya.

Beliau yang juga Adun Padang Kota berkata, rakyat negeri Pulau Pinang tidak perlu merasa ragu dan gelisah tentang masa depan negeri kerana pentadbiran yang diterajui Pakatan Harapan mampu membawa kemakmuran dan kemajuan.

“Oleh itu, rakyat jelata boleh menaruh harapan kepada kita untuk terus menjaga kepentingan masa depan negeri kita,” katanya.

Sesi memotong kek sempena Ulang Tahun DAP ke-51

Dalam ucapannya itu, beliau turut menyenaraikan lima visi yang antara lain menyentuh mengenai hak keistimewaan negeri, keharmonian dan perpaduan rakyat, urus tadbir yang baik, pembangunan ekonomi serta pembangunan institusi kemasyarakatan dan demokrasi.

“Kita cuma akan dapat menunaikan kewajipan ini sekiranya rakyat memberi mandat ketiga kepada kita dalam PRU 14. Pelancaran jentera pilihanraya DAP di negeri Pulau Pinang hari ini menandakan keazaman kita untuk menyahut masa depan kita.

“Di Pulau Pinang, semangat kesepakatan antara parti Pakatan Harapan adalah penting. Ketiadaan PAS tidak melemahkan keazaman kita, sebaliknya membuka peluang untuk mengukuhkan pakatan kita dengan munculnya Amanah dan Bersatu,” ujarnya.

Turut serta dalam majlis pelancaran tersebut adalah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan barisan kepimpinan Pakatan Harapan.

Ulang tahun ke-51 DAP turut diraikan di majlis berkenaan dengan sesi memotong kek. – Roketkini.com