Bumi Malaysia Timur, Sabah dan Sarawak sememangnya terkenal dengan kerukunan rakyatnya yang hidup harmoni tanpa dipecahbelahkan oleh sentimen yang bukan-bukan. Sesiapa yang pernah ke Sabah atau Sarawak tentu memahami aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak yang mahu keharmonian dan ketenteraman ini terus dipelihara. Dijauhi dari golongan yang sentiasa mengapi-apikan sentimen kaum atau agama.
Melalui kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh PAS menuduh bukan-bukan terhadap cadangan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen agar diberikan keutamaan kepada guru-guru agama dari Sarawak untuk mengajar di Sarawak sebagai berniat jahat terhadap Islam, jelas menunjukkan PAS mengenepikan perasaan rakyat Sarawak. Malah mereka melakukan perkara yang amat dikhuatiri rakyat Sarawak iaitu memutarkan isu sebegini menjadi isu agama untuk mengapi-apikan sentimen agama.
Jika diperhalusi dan tidak terburu-buru mahu bermain sentimen agama, kenyataan Chieng Jen sebenarnya mempertikaikan keputusan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak yang telah mengimport guru agama dari semenanjung ke Sarawak. Ia bukan berkaitan dengan isu agama Islam sebaliknya dasar membawa masuk guru Semenanjung yang mengenepikan peluang guru tempatan.
Menurut Chieng Jen, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) mengiklankan dua jawatan guru pada bulan Januari tahun ini, ia menerima lebih daripada 4,438 permohonan. Dari 4,438 orang yang memohon untuk menjadi guru agama, tak mungkin walaupun 10 peratus daripada mereka pun tidak layak!
Apakah justifikasi untuk Jabatan Negeri Sarawak untuk mengambil 433 guru agama dari Semenanjung sedangkan terdapat juga permohonan guru agama tempatan?
Bukankah lebih baik keutamaan diberikan kepada guru agama tempatan? Pertama, mereka lebih memahami waqi’ (realiti) masyarakat Sarawak. Kedua, guru dari Semenanjung pula tidak perlu diheret berjauhan dari keluarga dan tempat asal mereka. Dengan mengutamakan guru tempatan, ianya merupakan situasi menang-menang baik untuk guru di Sarawak mahupun guru di Semenanjung.
Mengapakah PAS melompat? Adakah kerana bagi PAS guru agama di Sarawak tidak cukup memahami Islam? Saya percaya sikap beginilah yang dikhuatiri rakyat Sarawak.
Amat malang apabila tidak semena-mena Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman menuduh DAP biadap kerana campurtangan dalam isu ini dan mempersoalkan apakah Pakatan Harapan jika menang kelak akan mencampuri urusan agama Islam. Saya fikir Khairudin tidak perlu menangguk di air yang keruh untuk berkempen bagi pihak Barisan Nasional (BN).
Sebagai peguam beliau perlu faham bahawa autonomi Sarawak harus dihormati dan kepentingan mereka perlu diutamakan. Malah dengan mengutamakan guru tempatan boleh membawa lebih banyak kebaikan seperti yang telah saya sebutkan di atas. Mengimport guru agama dari semenanjung sedangkan ada guru yang layak mengajar di sarawak menimbulkan persoalan yang besar. Ia juga satu tindakan yang bertentangan rundingan penurunan kuasa kepada Sarawak berkaitan pendidikan dan latihan seperti yang dijanjikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada Sarawak.
Kebimbangan mengenai lambakan guru-guru dari semenanjung yang ditempatkan di Sarawak bukanlah isu baru. Turunlah mendengar suara rakyat Sarawak, jangan hanya turun ketika mahukan undi saja. Hal ini disuarakan kembali untuk mengingatkan semua kembali kepada sikap tidak konsisten Jabatan Pendidikan Negeri yang mengambil guru agama dari luar tanpa memberi keutamaan kepada guru-guru tempatan.
Saya menyeru PAS supaya lebih memahami denyut nadi rakyat kebanyakan di Sarawak dan jangan lakukan perkara yang mereka cukup bimbang, mengapi-apikan sentimen agama demi laba politik.
*Edry Faizal adalah Ahli Jawatankuasa DAP Selangor merangkap Ahli Majlis di Majlis Perbandaran Selayang.