Berita

DAP minta 1000 borang daftar undi, kenapa SPR beri 500 sahaja?

SHAH ALAM, 17 MAC: Memandangkan terdapat kira-kira 4.4 juta individu yang layak mengundi tetapi masih belum mendaftar, banyak pihak kini sedang bergegas untuk membuat kempen daftar undi.

Antaranya dua Adun DAP yang ke pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Selangor hari ini dengan harapan untuk mendapatkan 1000 borang daftar pemilih supaya dapat diedarkan ke beberapa kawasan di seluruh negeri itu.

Malangnya, pegawai yang bertugas berkata pejabat SPR negeri hanya boleh memberikan sebanyak 500 borang sahaja, yang ternyata sama sekali tidak mencukupi.

Adun Kampung Tunku, Lau Weng San dan Adun Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong mempersoalkan had yang tidak munasabah itu.

“Borang sebanyak 500 tidak cukup, untuk kawasan Subang Jaya saja boleh habis. Sedangkan kita mahu edar ke banyak kawasan lain, contohnya Petaling Jaya,” kata Kee Hiong.

Menurutnya, situasi begitu bukanlah kali pertama terjadi, malah, sebelum ini Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pasir Kerling pernah meminta 1,000 borang tetapi hanya mendapat 100 sahaja.

Weng San ketika ditemui pemberita pula berkata, tanpa kehadiran dua Adun dan media, JKKK mungkin akan menerima jumlah yang lebih sedikit.

“Kami perlu tahu, wujudkah peraturan-peraturan yang tak tertulis seperti kawalan terhadap jumlah borang yang diedarkan.

“Kawalan ini tak sesuai dilaksanakan apabila masih ramai rakyat belum mendaftar sebagai pengundi.

“Memang boleh daftar di pejabat pos, tapi ada juga masalah timbul. Sama ada kehabisan borang atau offline,” kata Weng San.

DAP Selangor sebelum ini pernah beberapa kali mempersoal sama ada SPR kekurangan dana sehingga gagal mencetak borang pendaftaran pengundi berdasarkan permintaan. – Roketkini.com