Rencana

Pentingkah ideologi?

Ideologi sosial demokrasi yang dipegang oleh DAP jauh berbeza daripada komunisme. Pegangan politik ini berevolusi daripada sosalisme demokratik yang menjadi asas penubuhan DAP pada 1966.

Sosialisme demokratik bererti sosialisme yang menolak komunisme, menentang pemerintahan diktator, dan menganggap demokrasi dan kebebasan sebagai elemen penting dalam perjuangan.

Sepanjang era Perang Dingin, DAP tidak menyokong sistem kapitalis imperialis Barat serta menolak komunis Soviet Union dan China era Mao Zedong. Ia tidak percaya kepada pemerintahan satu parti yang dilihat sebagai tidak demokratik dan mengongkong rakyat.

Sehubungan dengan itu, DAP memilih jalan Parlimen, iaitu berjuang dalam sistem pelbagai parti melalui pilihan raya yang bebas, adil dan bersih. Oleh kerana itu, walaupun pilihan raya di Malaysia dikongkong, berat sebelah dan masih kotor, DAP tetap menyertainya untuk terus menyuarakan tuntutan rakyat.

Selepas 40 tahun berjuang, DAP meluaskan ruang ideologi politiknya dengan memilih sosial demokrasi, iaitu ideologi yang paling sederhana dalam ruang sosialisme, sebagai pegangan bagi merintis alaf baru.

Ini bererti pada 2006 DAP secara terbuka menerima ekonomi pasaran tetapi membenarkan campur tangan kerajaan untuk melindungi rakyat, pekerja dan pengguna. Ia bermaksud DAP bergerak atas dasar mahu menjinakkan pasaran. Ini amat perlu kerana pasaran tanpa kawalan akan mengakibatkan kepincangan ekonomi, ketidakseimbangan sosial, dan kesengsaraan rakyat.

Realiti politik semasa

Adakah ini bermakna DAP telah mengkhianati prinsip asalnya apabila menerima sistem pasaran? Tentu sekali, tidak. Malah hari ini, parti-parti yang jauh lebih kiri di seluruh dunia telah menerima hakikat ekonomi pasaran. Yang membezakan antara mereka hanyalah kaedah dan cara memanfaatkannya demi keperluan dan kemakmuran rakyat.

Meminda perlembagaan parti dengan memilih sosial demokrasi sebagai ideologi bererti DAP menerima realiti politik semasa, iaitu memenuhi keperluan keusahawanan dan perniagaan di kalangan rakyat, serta memberi jaminan perlindungan kerajaan kepada rakyat daripada kesan sistem pasaran. Yang dimaksudkan dengan pasaran adalah daripada perniagaan kereta tolak penjaja, gerai dan kedai runcit, kepada industri kecil dan sederhana, serta syarikat korporat.

Inilah makna pegangan sosial demokrasi bagi DAP. Namun, masih ada kalangan DAP yang tidak begitu pedulikan ideologi kerana menganggap ia sekadar hal-hal teori yang tiada kaitan dengan kehidupan seharian.

Namun benarkah anggapan sedemikian?

Penunjuk arah

Bayangkan jika kita memandu kereta ke suatu tempat yang belum pernah kita sampai. Kalau sekadar mengharapkan papan tanda di jalan raya Malaysia, ramai yang tahu maklumat seperti itu tidak lengkap, dan boleh menyebabkan kita sesat jalan.

Kini, ramai antara kita yang menggunakan alat GPS sebagai penunjuk arah. Ia seperti kompas dan ia amat penting sebagai panduan untuk mencapai tujuan kita. Seperti GPS dan kompas, ideologi merupakan penunjuk arah yang penting kepada sesebuah organisasi, termasuk parti politik, untuk mencapai objektif perjuangannya.

Namun, tidak seperti sesetengah parti, DAP tidak menyembah ideologinya. Ia sekadar panduan bagi menuju arah tujuan. Ia bukan satu bahan untuk, dipuja, diberhala atau diperasap kemenyan.

Dengan mengekalkan prinsip asalnya, DAP boleh mengubah strategi dan taktik mengikut keadaan. Malah, perubahan-perubahan ini atau adaptasi semasa amat penting untuk disesuaikan dengan masa, keadaan dan tempat.

Yang tidak berubah adalah prinsip asas. Bagi sosial demokrasi, asasnya adalah kebebasan, keadilan, hak serta peluang saksama, dan solidariti. Ini kekal sebagai pegangan DAP walaupun berlaku perubahan strategi dan taktik.

Dalam amalan politik, apa maksudnya?

Strategi dan taktik

Apabila bekerjasama dengan PAS sewaktu era Pakatan Rakyat dan Barisan Alternatif, DAP tidak mengetepikan pegangan ideologinya. Gabungan dengan parti Islamis itu adalah kerjasama atas dasar bersama, iaitu melawan UMNO-Barisan Nasional untuk membentuk kerajaan baru bagi mereformasikan negara.

Begitu juga kerjasama dengan Anwar Ibrahim yang sebelum 1998 merupakan Timbalan Perdana Menteri, Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Pengerusi BN.  Walaupun beliau merupakan bekas pemimpin sebuah kerajaan yang korup dan zalim, ia tidak menghalang DAP untuk bekerjasama atas dasar yang sama, iaitu melawan kejahatan bagi menegakkan keadilan.

Kini DAP bekerjasama dengan Dr Mahathir Mohamad dalam Pakatan Harapan.  Sudah tentu ada pihak yang tidak senang hati dengan keadaan ini, termasuk segelintir pemimpin dan ahli DAP. Bagi mereka tidak masuk akal apabila DAP bersekongkol dengan bekas musuh utamanya.

Kerjasama DAP ini tidak menggadaikan sebarang prinsip. Malah, ia penting dari segi strategi dan taktik. Ini adalah kerana musuh rakyat yang lebih besar adalah pentadbiran Najib Razak.  Kerajaan Najib lebih teruk daripada kerajaan Mahathir dahulu. Ia sedang merudumkan negara dengan pelbagai skandal mega, salah guna kuasa, dan krisis ekonomi yang menyebabkan rakyat semakin sengsara.

Seperti kerjasama dengan Anwar, dan PAS sebelum ini, konteks persahabatan politik DAP dengan Mahathir tetap serupa: melawan hegemoni UMNO-BN bagi menyelamatkan rakyat dan negara Malaysia.

Berfikir secara waras

Suka atau tidak, ideologi memang ada peranannya. Setidak-tidaknya, ideologi politik boleh menjadi asas kepada kita untuk berfikir. Ideologi mampu membuatkan manusia berfikir, berhujah dan berbahasa secara waras.

Ia membolehkan kita mengkaji, mentela’ah, menghurai dan menentukan; malah menggalakkan muhasabah diri dan masyarakat bagi membolehkan fahaman politik diperbaiki dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Ideologi politik adalah hasil pemikiran manusia. Ia bukan sesuatu yang tetap atau tak boleh diubah. Inilah kebaikan dan mungkin juga kelemahan ideologi. Tetapi itulah ideologi – suatu ciptaan manusia di mana tidak ada sesiapa yang boleh berkata ia adalah hak milik kuasa agung atau Tuhan, dan dengan itu boleh diperbaiki dan dikemaskini sepanjang masa mengikut masa, keadaan dan konteks.

Amalan yang baik dan jujur akan membolehkan kita berani bersuara, dan tidak perlu berselindung di sebalik undang-undang zalim yang menyekat kebebasan atau menggunakan nama kuasa tertinggi atau Tuhan untuk menutup minda, hati dan mulut rakyat.

Jika ideologi dan wacana ideologi politik dicampak keluar dari ruang perbincangan, yang akan tinggal di Malaysia hanyalah politik kaum dan agama. Hari ini pun sudah terasa bahang panas perkauman dan keagamaan sempit yang semakin menekan rakyat.

Tanpa ideologi kita mudah hilang fokus. Tanpa panduan politik, kita akan lebih ghairah dengan emosi kaum dan agama berbanding hal-hal yang sebenar dalam kehidupan seharian.

Politik emosi kaum dan agama mudah menyebabkan kita lupa kepada hal-hal yang menekan diri dan keluarga kita seperti kenaikan harga barang dan minyak, penerusan cukai GST, penurunan nilai ringgit yang menyebabkan harga makin melambung, kemerosotan taraf hidup, kos pendidikan dan kesihatan terus naik, dan pelbagai kesulitan yang pahit.

Memang ideologi bukan satu-satunya jalan penyelesaian. Tetapi ia adalah penunjuk arah yang mampu membimbing kita menuju ke arah jalan penyelesaian. – Roketkini.com