Berita

Mengapa perlu tiga syarikat jadi orang tengah Jabatan Imigresen proses E-Kad?

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Jabatan Imigresen sebelum ini mendakwa tidak ada orang tengah atau ejen yang dilantik bagi menguruskan proses permohonan kad sementara atau ‘Enforcement Card’ (E-Kad) untuk pendatang asing tanpa izin (PATI).

Bagaimanapun, dua hari lalu Parlimen dikejutkan dengan kenyataan dari kerajaan bahawa wujud orang tengah terdiri dari tiga syarikat bagi seluruh proses E-Kad berkenaan dedah Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim sebentar tadi.

Tiga syarikat itu adalah Iman Sdn. Bhd., MyEG Bhd. dan Bukit Megah Sdn. Bhd.

Menurut Steven, semua majikan atau PATI perlu melalui ketiga-tiga ejen berkenaan terlebih dulu sebelum memohon E-Kad.

E-kad yang kononnya percuma itu akan hanya diberi setelah membayar RM800 bagi setiap orang pekerja asing kepada salah satu ejen.

“Bermakna prosesnya tetap sama – ada ejen yang akan mengaut keuntungan lumayan dengan melakukan kerja-kerja untuk Jabatan Imigresen,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, seluruh proses ini menunjukkan masih wujud birokrasi berganda biarpun penggunaan sistem E-Kad diuar-uarkan kerajaan sebagai satu bentuk pembaharuan ‘bebas dari orang tengah’.

“Adakah Jabatan Imigresen menggunakan E-Kad sebagai gimik untuk memberi keuntungan kepada syarikat-syarikat tertentu?” ujarnya.

Jabatan Imigresen juga dipersoal kerana tidak menjadi satu-satunya pihak yang menjalankan proses E-Kad kerana syarikat tidak lagi boleh mengambil kesempatan.ke atas sistem sedia ada.

“Sebagai contoh, jika sistem E-Kad dilaksanakan, dilaporkan ada lebih 600,000 PATI yang akan mendaftar.

“Ia bermakna, syarikat akan memperoleh keuntungan sebanyak RM500 juta dalam masa empat bulan!” ujarnya yang sebelum ini telah berulang kali menggesa sebarang proses melibatkan Jabatan Imigresen tidak melibatkan orang tengah agar penyelewengan dapat dielakkan

Awal tahun ini, Kementerian Dalam Negeri telah memperoleh kebenaran untuk mengeluarkan kad sementara kepada PATI yang bermajikan.

Permohonan E-Kad berkenaan boleh dibuat bermula 15 Februari lalu sehingga 30 Jun depan. – Roketkini.com