Berita

RUU 355 senjata makan tuan, UMNO-BN pula bertelagah

KUALA LUMPUR, 23 MAC: Taktik UMNO untuk memecahbelahkan rakyat Malaysia melalui usul RUU 355 akhirnya memakan diri sendiri.

Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong dalam kemas kini status laman sosial Facebook berkata, parti dalam Barisan Nasional (BN) kini berpecah teruk berikutan usul berkenaan.

“Hudud/RUU355 bukanlah sepenuhnya mengenai kepentingan agama tetapi strategi politik (Datuk Seri) Najib Razak untuk menang mudah. Dia merancang untuk menang dengan mewujudkan perpecahan antara Melayu dan rakyat Malaysia yang lain.

“Bagaimanapun ia tidak terjadi. Apa yang sepatutnya membawa perpecahan kepada pembangkang, sebaliknya memecahbelahkan BN,” katanya.

Memetik sumber, Oriental Daily melaporkan bahawa parti-parti komponen BN khususnya dari Sarawak menentang tindakan kerajaan Persekutuan mengambil alih RUU 355 yang sebelum ini dibawa secara persendirian oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Tun Openg seperti dilaporkan media pada 16 Februari lalu berkata, akan mengulangi arahan ketua menteri terdahulu supaya 25 anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dari Sarawak menolak usul berkenaan.

Menurut Abang Johari, jika RUU 355 berkenaan diluluskan, bukan sahaja keharmonian masyarakat pelbagai etnik akan tergugat malah bercanggah dengan Perjanjian Malaysia 1963, yang mana mengisytiharkan Sarawak sebagai sebuah negara sekular.

Chin Tong yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP berkata, RUU 355 hanyalah strategi Najib Razak selaku Presiden UMNO untuk mewujudkan polarisasi kaum di negara ini.

“Untuk tiga tahun sejak Mac 2014, hudud dan sekarang RUU355 digunakan sebagai alat politik untuk ‘menyatukan’ UMNO dan PAS, sementara memecahbelahkan pembangkang dengan garis agama.

“Logik Najib bukanlah sukar untuk difahami: pastikan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dikeluarkan supaya tidak ada pemimpin alternatif, bawa PAS ke dalam UMNO, dan menuduh pembangkang sebagai ‘DAP/Cina’,” katanya. – Roketkini.com