Berita

Harga bahan api: Kenapa kerajaan jaga kepentingan syarikat minyak, bukannya kepentingan rakyat?

PETALING JAYA, 23 MAC: Dasar UMNO-Barisan Nasional (BN) yang enggan membenarkan syarikat pengedar bahan api untuk bersaing secara bebas dengan menetapkan harga minyak dan petrol di bawah harga runcit yang ditentukan kerajaan hanya akan merugikan rakyat.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee berkata, dasar itu akan membuka ruang kepada syarikat pengedar bahan api untuk membentuk kartel bagi mengawal harga petrol dan diesel melalui harga runcit yang ditentukan kerajaan.

Katanya, dasar tersebut bercanggah dengan semangat dan hasrat Akta Persaingan 2010 yang melarang amalan penetapan harga dan monopoli dalam hampir semua industri.

“Rakyat Malaysia sangat kesal dengan keputusan kerajaan itu yang seolah-olah melindungi keuntungan syarikat minyak dan gas, dengan mengorbankan kepentingan rakyat biasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP, menggesa agar kerajaan tidak hanya menjaga kepentingan syarikat pengedar minyak sebaliknya memikirkan nasib rakyat terbanyak yang terpaksa menanggung beban ekoran kenaikan harga bahan api tersebut.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang memaklumkan bahawa harga runcit mingguan akan diumumkan pada setiap hari Rabu bermula 29 Mac ini.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan bersama syarikat-syarikat pengedar minyak. Mereka juga dilarang menjual bahan api di bawah harga runcit mingguan tanpa mendapatkan kelulusan daripada KPDNKK terlebih dahulu.

Ia bercanggah dengan kenyataan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang memaklumkan pada 16 Mac lalu bahawa syarikat-syarikat pengedar minyak bebas untuk menjual petrol dan diesel di bawah harga runcit yang ditentukan. – Roketkini.com