Rencana

Ketuanan Islam dan Ketuanan Melayu

Satu hari akan tiba, apabila kita ditanya, mengapa kita melakukan kemungkaran, bermusuhan sesama sendiri, bahkan hingga sampai kepada tahap mahu mencederakan sesama sendiri. Ketika itu, bila kita sedar kita akan kata bahawa kita jadi begini sebab kita dengar hasutan ketua dan pembesar-pembesar kita dan mereka membawa kita kepada kesesatan. Ketika itu, kita akan berdoa kepada Tuhan supaya menghukum mereka dua kali ganda dan melaknat mereka dengan laknat yang besar.

Orang Melayu akan menyumpah pembesar-pembesar mereka, tak kira ustaz atau pemimpin sekular dengan maki dan cerca kerana merekalah yang menyebabkan kita bermusuhan sesama sendiri.

Dan mereka akan kata- ya Tuhan kami, sesungguhnya kita telah ikut pemimpin dan pembesar2 kita dan mereka membawa kita kepada kesesatan. (Al-Ahzab, 67)

Ya Tuhan, berikan mereka ‘azab 2 kali ganda dan laknat mereka dengan laknat yang besar. (Al-Ahzab, 68)

Janganlah kita ikut pemimpin dan pembesar-pembesar kita secara membabi buta. Analisalah baik-baik apa yang mereka kata dan anjur. Bukan berdosa jika menilai dan menimbang anjuran-anjuran mereka. Ingatlah, sokongan dan persetujuan kita kepada mereka adalah sokongan dan persetujuan yang bersyarat. Jika mereka anjurkan untuk menegakkan kebenaran, keadilan dan kebaikan, ikutlah mereka. Jika sebaliknya, kita tinggalkan mereka.

Sekarang makin ramai orang Melayu sedar bahawa segala ribut mengenai pindaan RUU355 hanya kerja politik sahaja. Ahli PAS rupanya ramai yang tidak tahu mengenai RUU355 itu sebetulnya. Orang Melayu awam pun tidak tahu.

Hanya mereka rasa diperas ugut jika tidak sokong, akan dikata murtad dan tidak cukup Islam. Sokongan yang diperolehi melalui peras ugut, adalah perbuatan yang tidak bertanggung jawab.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri kata, kemenangan untuk RUU355 ialah untuk politik Islam. Politik itu apa? Politik itu tujuannya mendapat kuasa. Itu sebab orang PAS berpolitik. Untuk dapat kuasa memerintah Kelantan umpamanya.

Ini sudah bercanggah dengan kenyataan dangkal beberapa pemimpin PAS yang kata mereka ambil bahagian dalam politik bukan untuk menang. Ketua Pemuda PAS, Nik Muhammad Abduh umpamanya dangkal bila kata dia bertanding jawatan Timbalan Yang Dipertua PAS Pengkalan Chepa saja main-main.

Saya tidaklah dapat memberi alasan bagi pihak orang yang memberi kenyataan-kenyataan dangkal seperti demikian.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi pula kata, kemenangan RUU355 ini ialah untuk menyatupadukan orang Melayu. Bukan untuk Islam, tapi untuk menyatupadukan Melayu. Ertinya, untuk politik ketuanan Melayu.

Maka, saya kata – isu RUU355 ini ialah agenda politik. Ianya tidak ada kena mengena dengan agenda memperkasakan Islam kembali. It has nothing to do with making Islam great again.

Maka, yang saya dengar pindaan RUU355 ini ialah untuk (a) mengukuhkan politik Islam (b) menyatukan orang Melayu. Itu yang disebut oleh Hadi Awang (a) dan Zahid Hamidi (b). Semua boleh dengar dalam youtube.

Siapa yang mengancam Islam dan Melayu?

Saya pun tertanya-tanya, siapakah yang mengancam Islam kita? Siapa pula yang mengancam orang Melayu? Permainan menyalahkan orang lain ini, perlulah dihentikan. Kita mendapat apa yang kita usahakan. Ertinya, perbuatan kita yang menjatuhkan Islam dan perbuatan kita sendiri yang melemahkan kaum Melayu.

Jika orang Cina mengancam Islam, sila nyatakan bagaimana? Jika Cina mengancam orang Melayu, sebut bagaimana? Apa yang menyekat kerajaan Melayu mengambil tindakan jika ia benar? Tangkap lah orang Cina tersebut, humban mereka ke laut.

Kepada saya yang fakir ini, kenyataan-kenyataan Hadi Awang dan Zahid Hamidi ialah kenyataan agenda politik. Yang pertama ketuanan Islam dan yang kedua ketuanan Melayu.

Definisi ketuanan Islam ialah siapa tidak ikut cara Islam kami, bukan dari golongan kami. Ketuanan Melayu pula, sesiapa tidak setuju dengan kami adalah anti-Melayu dan musuh kita. Musuh boleh diganasi, malah dibunuh. Kedua dua jenis ketuanan mesti di tolak oleh rakyat Malaysia.

Rupa-rupanya inilah yang diributkan sangat oleh golongan yang mempromosi pindaan kepada RUU355. Banyak tenaga , masa dan kegelisahan disebabkan oleh isu ini. Bayangkan ramai mana orang Melayu Islam yang diperas ugut mengenai keislaman mereka. Ramai mana orang Melayu yang merasa terkilan bila kemelayuan mereka disangsikan hanya kerana tidak bersetuju dengan UMNO. Jenama Melayu itu bukan milik UMNO.

Satu golongan jahat ada kawan baik yang sokong mereka. UMNO dapat kawan baik baru yang menyokong kemungkaran mereka. Mereka saling sokong-menyokong.

Keadaan sudah sampai kepada tahap yang sangat memperbodohkan – sehingga wayang gambar Beauty and the Beast pun diharamkan kerana kononnya menjejaskan akidah Islam. UMNO yang sepatutnya membawa suara rasional terikut ikut cakap PAS kerana mahu memperkudakan PAS.

Kepada saya dan sebahagian besar orang Melayu yang rasional di Malaysia, yang tahu Islam mereka atau tanggungjawab Islam mereka, agenda ini bahaya kerana rupa-rupanya dua agenda ini digunakan untuk melaga-lagakan rakyat Malaysia. Juga untuk menyembunyikan kegagalan dan kelemahan.

PAS menyembunyikan rekod dan kegagalan membangun bersama Islam mereka. UMNO guna Isu ini kerana menyembunyikan jenama nasionalisme Melayu ekstrim yang ditolak oleh bangsa Melayu sendiri.

Ketuanan Islam beroperasi atas prinsip keislaman pihak lain mesti disahihkan, diabsahkan diperakui oleh satu pihak. Sebab itu ‘kita nak tengok dahulu cadangan kerajaan mengenai RUU355’.

Apakah mesti mendapat perakuan dari pihak Hadi Awang barulah sahih dan sah Islamnya cadangan pindaan RUU oleh kerajaan UMNO? PAS dan Hadi Awang jadi badan yang mengesahkan keislaman cadangan? Ada jawatankuasa syarak kerana keislaman ulama-ulama lain yang tidak ikut PAS belum sahih lagi?

Satu pihak ini adalah autoriti mengenai Islam. Rakyat terbanyak meluat melihat satu pihak mengesahkan kita cukup Islam atau tidak cukup Islam. Siapa yang memberi autoriti kepada satu golongan untuk mengatakan bila kita mati, kita ditanam di jirat kerana kita tidak setuju dengan cadangan mereka?

Mereka yang bersikap lebih mulia dari orang lain dan membezakan orang lain mengikut penarafan mereka hanya mewujudkan perpecahan. Kita benci pada mereka yang menganggap mereka lebih mulia dari kita. Demikian juga ketuanan Melayu, satu pihak mengesahkan dan memperakui kita Melayu atau tidak.

Kedua jenis ketuanan ini bahaya dan tidak bertanggungjawab. Cabaran yang sahih terhadap mereka diperlakukan sebagai aksi permusuhan, perang, perkelahian dan sebagai sambutan, mensahihkan tindakan ganas kepada yang menentang.

Negara jadi huru hara kalau satu pihak yang beroperasi di atas dua sifat ketuanan ini melihat legitimate objection sebagai boleh mengisytiharkan perang. Ketuanan Islam menghalalkan darah, ketuanan Melayu menghalalkan pemasungan dan pemenjaraan tanpa pembelaan undang-undang.

Kedua aliran ini mesti ditolak oleh semua orang yang berfikiran rasional. – Roketkini.com

*Datuk Ariff Sabri adalah Ahli Parlimen Raub dan Ahli Jawatankuasa DAP Pahang.