Berita

Wanita DAP Selangor buat laporan polis terhadap Annuar Musa

KUALA LUMPUR, 24 MAC: Polis digesa menjalankan siasatan segera ke atas tindakan pemimpin UMNO Tan Sri Annuar Musa yang menganjurkan pertandingan menulis karangan bagi memburukkan pemimpin DAP.

Ini kerana, penganjuran pertandingan itu tidak bertanggungjawab dan dilihat sebagai tindakan terdesak menghasut dan memecahbelahkan keamanan rakyat berbilang kaum dalam negara ini.

Gesaan ini dibuat Wanita DAP Selangor dalam satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi petang tadi.

“Tindakan Tan Sri Annuar Musa tersebut adalah bertujuan untuk menyemai semangat kebencian serta permusuhan dan menyemarakkan api perkauman dalam kalangan rakyat berbilang kaum terhadap pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.

“Tindakan Annuar Musa, selaku seorang ahli parlimen tersebut merupakan satu jenayah fitnah yang serius dan yang tidak berasas terhadap Kit Siang dan harus disiasat segera oleh pihak polis bagi kepentingan keadilan,” laporan itu dipetik.

Ahli Jawatankuasa Wanita DAP Selangor yang hadir ke IPD Dang Wangi hari ini ialah Sangeet Kaur Deo, Adun Teratai Tiew Way Keng, Syefura binti Othman, Nalina Nair Rama Krishnan, Chin Pei Chi, Chang She-Yun dan Pushpaneela V. N. Suppiah.

Annuar semalam dilapor media menawarkan hadiah sebanyak RM10,000 bagi penulis karangan terbaik untuk memburukkan Kit Siang.

Jumlah hadiah tersebut kemudiannya dinaikkan kepada RM50,000 seperti dilapor media petang tadi. -Roketkini.com