Berita

Kerajaan diminta siasat penderaan, perhambaan pekerja asing secara serius

KUALA LUMPUR, 25 MAC: Isu penderaan dan perhambaan buruh di Malaysia telah beberapa kali didedahkan media tempatan dan antarabangsa, malah diakui beberapa syarikat besar termasuk Nike dan Verite’s.

Nike pada 2008 mengakui ada pekerja di negara ini yang didera oleh majikan, tidak dibayar gaji dan dipaksa hidup dalam keadaan kotor.

Verite’s dalam kajiannya pula mendapati satu dari tiga pekerja asing dalam sektor elektronik dilayan seperti hamba oleh majikan.

Selain itu, 16 pekerja pada 2013 pernah diselamatkan oleh NGO kerana tidak diberi makanan, dikurung selepas waktu bekerja, dipukul dan didera secara lisan oleh majikan.

Bukan itu saja, akhbar Guardian pada tahun lalu juga mendedahkan wujud penderaan dan perhambaan di kilang Samsung di Klang.

Semua ini melanggar peraturan yang telah ditetapkan Persatuan Buruh Antarabangsa (ILO) dan undang-undang tempatan, kata Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.

“Ia jelas menunjukkan kerajaan, polis, jabatan imigresen dan pihak-pihak berkenaan tidak cukup serius dalam membanteras perhambaan dan penderaan pekerja asing di negara ini.

“Perkara ini mesti ditamatkan. Kerajaan dan semua agensi berkaitan mesti berbincang, menilai kembali dan melaksanakan dasar-dasar yang melindungi hak asas seorang pekerja asing,” katanya.

Menurut Charles, langkah pertama bagi menangani masalah itu adalah melalui siasatan secara terperinci terhadap semua laporan yang pernah didedahkan media sebelum ini.

“Selain itu, mana-mana infrastruktur yang digunakan majikan bagi mendera pekerja perlu dihapuskan segera,” ujarnya. – Roketkini.com