Berita

Najib PM paling teruk patut bersara, bukan Kit Siang

KUALA LUMPUR, 26 MAC: Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok hari ini menepis dakwaan UMNO bahawa kononnya Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang tidak lagi disokong akar umbi parti.

Hakikatnya, menurut Teresa, pemimpin veteran DAP berusia 76 tahun dan telah menyertai politik sejak 1969 itu mendapat undi yang tinggi dalam setiap pemilihan Ahli Jawatankuasa Tertinggi (CEC).

Malah, katanya, undangan yang sering diterima Kit Siang dalam program ceramah serta makan malam turut membuktikan penerimaan baik rakyat terhadap Ahli Parlimen Gelang Patah itu.

“Ia menunjukkan bahawa beliau (Kit Siang) ternyata popular dalam kalangan rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Teresa berkata demikian mengulas seruan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan supaya Kit Siang bersara daripada politik atas alasan kononnya akar umbi inginkan kepimpinan baru dalam DAP.

Mengulas lanjut, Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh berkata, daripada Rahman Dahlan menyerang Kit Siang, adalah lebih baik Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu meminta supaya bosnya, Datuk Seri Najib Razak bersara daripada politik.

“Tak perlu saya jelaskan mengapa Najib perlu letak jawatan sebab Rahman Dahlan dan banyak lagi menteri UMNO sepatutnya sudah tahu mengapa Najib digambarkan rakyat sebagai perdana menteri yang paling teruk.

“Saya yakin jika Rahman Dahlan berani untuk membuat desakan sedemikian, beliau akan mendapat sokongan akar umbi UMNO dan ramai rakyat Malaysia.

“Namun, yang menjadi persoalan, adakah dia berani hilang jawatan menteri ekoran desakan itu?” katanya. – Roketkini.com