Berita

Pakatan Harapan jangan terperangkap ikut rentak UMNO

SEGAMAT, 26 MAC: Pakatan Harapan tidak perlu mengikut rentak UMNO-Barisan Nasional (BN) yang sering memainkan sentimen agama dan kaum demi meraih sokongan rakyat.

Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong berkata, Pakatan Harapan sebaliknya perlu merangka agenda untuk memulihkan keadaan ekonomi rakyat.

“Untuk membawa perubahan, kita mesti bersedia untuk perubahan. Kita tidak boleh jadi seperti BN yang akan memanipulasi rakyat berdasarkan politik perkauman dan agama. Kita mesti bangkit mengatasi politik perkauman dan kebencian.

“Kita perlu bersetuju dan jelas bahawa Pakatan Harapan harus memenuhi harapan semua rakyat Malaysia yang mahu masa depan ekonomi yang sejahtera untuk keluarga dan masyarakat mereka.

“Rakyat Malaysia mahu jaminan pekerjaan dan peluang ekonomi dan kestabilan tanpa kekeliruan dan kemarahan disebabkan oleh politik perkauman dan agama,” katanya dalam ceramah anjuran Pakatan Harapan di Stesen Tenang dekat Labis di sini, semalam.

Jika Pakatan Harapan dapat mewujudkan formula yang menepati aspirasi rakyat, menurut Chin Tong yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP, tidak mustahil gelombang rakyat akan menumbangkan UMNO-BN dalam pilihan raya umum akan datang. – Roketkini.com