Berita

Guru ada hak kritik kerajaan, selaras prinsip demokrasi

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Penjawat awam, termasuk guru mempunyai hak untuk mengkritik dasar-dasar kerajaan yang dianggap meminggirkan kepentingan rakyat, selaras dengan prinsip demokrasi di negara ini.

Sebarang ancaman atau ugutan ke atas mereka membuktikan bahawa kerajaan UMNO BN cuba menimbulkan ketakutan bagi mengawal penjawat awam, kata pegawai khas Ahli Parlimen Kuching, Dr. Kelvin Yii.

Menurutnya, tidak wujud istilah ‘setia membabi-buta’ dalam sistem demokrasi berparlimen pada hari ini, malah ia hanya menghasilkan budaya rasuah dan kronisme di kalangan pegawai kerajaan.

“Gaji penjawat awam dibayar menggunakan wang pendapatan kerajaan. Wang itu datang dari banyak sumber, termasuk cukai yang dibayar rakyat.

“Jadi bukan kerajaan atau BN yang bayar gaji guru dan penjawat awam, tapi rakyat. Guru tak perlu setia kepada BN, tapi kepada negara,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid semalam bahawa mana-mana guru yang gemar mengkritik kerajaan lebih sesuai meninggalkan profesionnya.

Mengulas lanjut, Kelvin berkata Mahdzir perlu faham bahawa rakyat, termasuk guru tidak harus disuruh mendiamkan diri apabila wujud salah urus tadbir yang jelas di kalangan pemimpin hari ini.

“Penjawat awam adalah tunggak penting dalam negara kita.

“Mereka seharusnya dibenarkan mengemukakan pendapat dan tidak takut bersuara kerana tanggungjawab mereka adalah untuk kebaikan negara, bukannya parti politik,” tegasnya. – Roketkini.com