Rencana

Harapan mengorak langkah

Sering diserang, selalu ditendang, seharian difitnah. Itulah nasib Pakatan Harapan yang menjadi sasaran segala alat kerajaan Barisan Nasional, termasuk media yang dikawalnya secara langsung dan tidak langsung.

Namun, sakit dan pedih dalam dunia politik berat sebelah di Malaysia tidak menyekat mereka untuk mewujudkan satu gabungan bagi melawan hegemoni BN. Atas nama Pakatan Harapan – kini meluas kepada empat parti, PKR, DAP, Amanah dan Bersatu – mereka mengorak langkah memenuhi keperluan rakyat.

Dua langkah

Langkah pertama – walaupun teknikal, sering menjadi tuntutan penyokong dan pengundi atas pagar – adalah mengemukakan permohonan rasmi kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk menjadi satu gabungan berdaftar.

Walaupun sebelum ini gabungan yang bernama Pakatan Rakyat pernah memohon pendaftaran, tiada pengesahan daripada RoS. Ini tidak menghalang gabungan baru untuk mengemukakan permohonan yang serupa; atas prinsip mematuhi undang-undang walaupun sedar soal hak dan keadilan bukan sesuatu yang mudah diperolehi di negara ini.

Langkah kedua adalah menghasilkan satu logo dan satu manifesto kebangsaan bersama untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang, yang besar kemungkinan diadakan tahun ini.

Kedua-dua langkah itu telah diluluskan oleh pucuk pimpinan parti-parti komponen Harapan dalam mesyuarat Majlis Presiden semalam. Ia akan memudahkan proses-proses seterusnya, terutama perbincangan pembahagian kerusi dan hal-hal berkaitan PRU14.

Yang memperlihatkan keberanian Harapan adalah kesanggupan untuk mengekalkan prinsip dan amalan keahlian setara atau equal partnership, tanpa perlu ada “abang besar”. Ia tidak rela menjadi BN yang dikuasai UMNO dengan mendominasi parti-parti lain yang terpaksa mengikut telunjuk parti dominan tersebut.

Walaupun keahlian setara bukan perkara yang mudah diamalkan, ia mencerminkan semangat persetujuan sebulat suara atau consensus, tanpa ditekan atau dipengaruhi mana-mana komponen yang dominan.

Dua cabaran

Dua cabaran utama yang perlu Harapan tangani segera dengan penuh berhemah adalah:

  • Politik kaum dan agama yang dimanipulasi media arus perdana pro-UMNO-BN serta konco-konconya. DAP khususnya terus menjadi sasaran atas prinsipnya yang mengutamakan kebebasan, hak dan peluang saksama, keadilan sosial dan solidariti kerana semua nilai ini mencabar dominasi politik perkauman UMNO-BN; dan
  • Isu hudud dan pindaan Akta Mahkamah Syariah atau Rang Undang-Undang 355. Hari ini hudud bukan lagi tajuk besar media kerana sudah ada pula cadangan undang-undang pra-hudud RUU355 dibawa ke Parlimen. Hal agama menjadi alat manipulasi politik.

Menangani kedua-dua perkara ini bukan bererti Harapan juga perlu bermain politik perkauman dan agama. Pihak pembangkang tidak usah melayani agenda kotor; tidak perlu menari mengikut gendang UMNO-BN.

Yang penting, para pemimpin dan ahli Harapan perlu memastikan isu-isu kaum dan agama tidak akan mengabui mata kita daripada isu sebenar seperti kemerosotan ekonomi, pengangguran, peluang pekerjaan, kerendahan mutu pendidikan, peluang perniagaan, dan pelbagai masalah lain yang tidak mengira gender, kaum, agama, atau wilayah.

Memang ada di kalangan kita merasa bosan dan jemu apabila mendengar perkataan “ekonomi” kerana terbayang hal-hal yang berkaitan dengan nombor, rajah, graf, garisan, skandal kewangan mega, dan segala istilah yang sukar difahami.

Cuma apabila disebut “wang” atau “duit” – terutamanya apabila poket atau dompet semakin menipis, dan akaun bank semakin kurang simpanannya, atau ada pihak tawarkan sumbangan wang, pekerjaan, rumah, dan sebagainya – baru kita rasa pentingnya hal-hal ekonomi. Tak kira golongan pekerja dan petani, atau kelas pertengahan, kos hidup dan bajet keluarga adalah perkara yang amat penting dalam kehidupan seharian.

Masalah ekonomi semakin menekan kita. Bukan penyokong Harapan sahaja yang menderita akibat salah urus ekonomi negara, malah akar umbi yang menyokong UMNO-BN dan PAS juga merasai kepedihan ini. Hanya golongan atasan dan pucuk pimpinan serta kroni mereka sahaja yang masih hidup senang-lenang.

Jadi, Pakatan Harapan perlu memberi lebih dari sekadar harapan. Ia mesti mengemukakan alternatif yang meyakinkan semua rakyat bahawa ia mampu memulihkan ekonomi, iaitu menangani kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, menstabilkan harga minyak, kos sara hidup, kos pendidikan, kos kesihatan, beban GST, penurunan nilai ringgit, ketirisan pengurusan kerajaan, dan pelbagai lagi.

Politik tanpa benci

Pada masa yang sama, Harapan perlu membawa era baru politik yang tidak menyekat kebebasan rakyat bersuara, yang mengamalkan undang-undang dan mahkamah yang adil serta saksama, yang menghormati sesama insan walau apa pun kepercayaan dan pegangan mereka.

Pakatan Harapan perlu mengelak daripada meniru cara UMNO-BN yang menyemai benci. Bagi UMNO-BN, sementara lidah mereka mengaku wira agama dan moral, amalan mereka keji dengan menabur kebencian antara kaum dan agama.

Sebagai contoh, UMNO dan konco-konconya menyebar fitnah kononnya Pakatan Harapan Pulau Pinang menindas orang Melayu di negeri itu kerana mementingkan kaum Cina dan India. Manakala MCA, Gerakan dan MIC pula menuduh kerajaan negeri meminggirkan kaum Cina dan India demi mengutamakan orang Melayu.

Hakikatnya, kemajuan dan kemakmuran yang dikongsi bersama rakyat pelbagai kaum di Pulau Pinang jauh lebih baik daripada zaman pentadbiran BN, malah hari ini terus maju berbanding negeri-negeri lain yang dikuasai UMNO atau PAS.  

Selain laporan kewangan kerajaan negeri, laporan Ketua Audit Negara positif kepada Pulau Pinang sejak Pakatan memimpin pada 2008, dan ini membuktikan segala tuduhan adalah fitnah, palsu dan bohong semata-mata.

Kerajaan Pakatan berjaya mengubah Pulau Pinang daripada negeri tercorot di bawah pentadbiran BN pada 2006-07 kepada juara kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita bagi 2014-15.

Kejayaan itu membolehkan rakyat Pulau Pinang mendapat pelbagai manfaat, termasuk bantuan tunai RM400 juta setiap tahun seperti pemberian RM100 untuk warga emas, ibu tunggal, suri rumah, orang kelainan upaya, dan murid sekolah, dan bayaran sekali sahaja RM1,000 untuk urusan jenazah, RM200 untuk bayi baru lahir, dan RM1,000 untuk mahasiswa tahun pertama.

Bagi Malaysia, Pakatan Harapan perlu komited untuk mengorak langkah seterusnya ke arah mewujudkan suasana hidup yang harmoni, adil, makmur dan bermaruah.

Untuk mencapai matlamat itu, Harapan tidak boleh lagi mengulangi kesilapan masa lalu. Pucuk pimpinan serta para pemimpin negeri dan anggota akar umbi perlu saling percaya antara satu sama lain. Perlu ada kepatuhan kepada keputusan bersama, dan yang paling penting, jangan suka-suka mengubah keputusan yang sudah diputuskan bersama.

Perpaduan yang tulen datangnya dari hati yang ikhlas. Sesekali keikhlasan memang wujud dalam arena politik. Apabila ini berlaku maka terjadilah perubahan yang kita semua harapkan. – Roketkini.com