Berita

Penubuhan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang sah mengikut undang-undang

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) yang ditubuhkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah sah, sekaligus menolak pengisytiharan haram oleh Menteri Dalam Negeri sebelum ini.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Tengku Maimum Tuan Mat itu menyatakan PPS bukanlah sebuah pertubuhan yang tertakluk kepada Akta Pertubuhan 1965.

Dalam pada itu, Adun Seri Delima, RSN Rayer berkata, seluruh pihak di Pulau Pinang amat mengalu-alukan keputusan yang memihak kepada kerajaan negeri berkenaan.

“Inilah keputusan yang kerajaan negeri tunggu-tunggu. Akhirnya kita dapat lihat bahawa kebenaran telah menang,” ujarnya kepada Roketkini.

Sebagai salah seorang anggota PPS, Rayer berkata beliau merasa terbela dan tidak sabar mahu bertugas semula.

Lebih-lebih lagi, beliau pernah ditahan untuk soal siasat pada 2014 kerana PPS didakwa ingkar arahan dan meneruskan aktiviti mereka.

Kementerian Dalam Negeri mendakwa kononnya PPS adalah pertubuhan yang menjalankan kegiatan yang memudaratkan ketenteraman awam di negara ini.

Sedangkan, matlamat penubuhan PPS adalah membantu kerajaan negeri membanteras jenayah selain menjaga kebajikan dan keselamatan awam penduduk Pulau Pinang.

Semua anggota PPS berkhidmat secara sukarela. – Roketkini.com