Berita

Pengharaman Dego: Pengangkutan awam teruk, jangan samakan dengan negara maju

KUALA LUMPUR, 29 MAC: Kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) tidak perlu berlagak seperti mentadbir sebuah negara maju sedangkan hakikatnya, sistem pengangkutan awam pun masih ketinggalan.

Walaupun kerajaan telah melaksanakan pelbagai projek pengangkutan awam seperti transit laju massa (MRT), Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran berkata, ia hanya meliputi sebahagian kawasan Lembah Klang.

Justeru, bagi menutup kelemahan itu, beliau mencadangkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) menyelesaikan masalah batuan pertama dan terakhir (first mile, last mile) yang sering dihadapi pengguna.

Ia, katanya, bagi mengelakkan pengguna daripada terpaksa berjalan jauh dari tempat tinggal ke stesen bas atau keretapi.

Selain itu, beliau turut mencadangkan SPAD meningkatkan kekerapan perjalanan bas supaya pengguna tidak perlu menunggu lebih dari 15 minit.

“SPAD perlu meningkatkan jumlah bas sebanyak tiga kali ganda di Lembah Klang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi di Parlimen hari ini bahawa Singapura, Tokyo, London dan New York tidak mempunyai perkhidmatan teksi, Dego seperti di Malaysia.

Menurut Abdul Aziz, ia adalah salah satu alasan mengapa kerajaan mengharamkan perkhidmatan tersebut di negara ini selain faktor keselamatan.

Bagaimanapun, menurut Rajiv yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, alasan itu adalah tidak wajar kerana Malaysia mempunyai sistem pengangkutan awam yang lemah tidak seperti negara-negara maju yang disebutkan, ditambah dengan kesesakan trafik.

Katanya, perkhidmatan Dego menutup kelemahan perkhidmatan pengangkutan awam dan sesuai dalam situasi trafik yang sesak.

“Sehinggalah rangkaian pengangkutan awam negara ini berjalan dengan baik, kita tidak perlu menambah beban pengguna dengan mengharamkan Dego kerana ia merupakan pilihan terbaik pengguna jalan raya yang sering terkandas dalam kesesakan trafik,” katanya. – Roketkini.com