Berita

Undang-undang bolehkan sumbangan politik tanpa had beri kelebihan kepada BN

KUALA LUMPUR, 30 MAC: DAP melahirkan rasa kesal terhadap cadangan Jawatankuasa Konsultatif Nasional (JKN) yang mahu menghapuskan had perbelanjaan dan sumbangan politik dalam Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik yang sedang digubal kerajaan.

“(Cadangan) Ini cenderung memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) dalam gelanggang yang sudah sedia tidak adil,” kata Ahli Parlimen Serdang, Dr. Ong Kian Ming dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas beliau dan beberapa wakil DAP mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan bagi membincangkan mengenai cadangan JKN berhubung akta itu di Parlimen semalam.

Bagaimanapun, menurut Dr. Ong, terdapat beberapa cadangan JKN yang diterima baik oleh parti, antaranya:

  1. Mewujudkan Pejabat Pengawal Sumbangan dan Perbelanjaan Politik. Pengawal Sumbangan dan Perbelanjaan Politik hendaklah diselia oleh sebuah Lembaga yang terdiri daripada tokoh-tokoh yang berwibawa, tanpa keanggotaan ahli-ahli politik yang aktif.
  2. Mengadakan Jawatankuasa Tetap Parlimen Mengenai Pembiayaan Politik. Peranan Jawatankuasa Tetap ini adalah untuk meneliti kerja-kerja Pengawal Sumbangan dan Perbelanjaan Politik bagi pihak Parlimen.
  3. Kerajaan perlu menyediakan peruntukan kewangan untuk menyokong operasi pejabat pusat khidmat Ahli-ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dengan berkesan. Bagi tujuan ini, sumber kewangan harus datang daripada belanjawan kerajaan persekutuan dan negeri.
  4. Syarikat-syarikat yang menerima kontrak atau konsesi daripada kerajaan perlu diharamkan daripada membuat sumbangan politik.
  5. Penyumbang-penyumbang politik tidak harus dikenakan tindakan diskriminasi hanya kerana sumbangan politik mereka dan mekanisme tertentu harus diperkenalkan untuk melindungi penyumbang dari didiskriminasi.

Dr. Ong turut menekankan bahawa dana pembangunan kawasan yang ketika ini tidak diberikan kepada anggota Parlimen pembangkang perlulah dimasukkan dalam peruntukan negeri.

“Kami juga mengambil perhatian bahawa perincian lebih mengenai apa yang akan dilakukan dalam pelaksanaan cadangan akta itu belum lagi dimuktamadkan dan masih lagi dalam proses untuk diselesaikan oleh jawatankuasa teknikal,” katanya.

Beliau turut melahirkan penghargaan terhadap kesudian menteri untuk memaklumkan dari masa ke semasa mengenai perkembangan akta tersebut.

“Kami akan menunggu butiran lengkap mengenai cadangan rang undang-undang tersebut sebelum membuat keputusan untuk menyokongnya atau tidak,” katanya.

Pertemuan itu turut dihadiri Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke, Teresa Kok (Seputeh) , Chong Chien Jen (Bandar Kuching), Julian Tan (Stampin), Oscar Ling (Sibu), Ng Wei Aik  (Tanjong), dan Jeff Ooi (Jelutong). – Roketkini.com