GEORGE TOWN, 30 MAC: Adakah UMNO-Barisan Nasional (BN) akan mengubah keputusannya semalam berhubung RUU355 dengan membiarkan Speaker Dewan Rakyat memberikan keutamaan untuk usul itu dibentangkan dalam sesi Parlimen kali ini?
Persoalan itu dibangkitkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kerana katanya sejarah telah membuktikan bahawa UMNO-BN sering mengubah pendiriannya dan tidak menunaikan janjinya kepada rakyat.
“BN ada sejarah ‘flip-flop’. Seperti janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahu menghapuskan Akta Hasutan. Dan seperti isu hudud, sebelum pilihan raya umum 2013, Najib menegaskan bahawa hudud tidak sesuai dalam negara berbilang kaum seperti Malaysia.
“Bagaimanapun Najib enggan mengambil pendirian itu apabila mula menjalinkan hubungan dengan PAS. Sebaliknya dia menunjukkan sokongan BN (terhadap RUU 355).
“Ia berpunca daripada pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa kerajaan akan mengambil alih RUU355, yang mana kononnya akan dibentangkan oleh Zahid sendiri di Parlimen,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Dewan Tertinggi BN, sebulat suara memutuskan bahawa kerajaan tidak akan mengambil alih pembentangan RUU355 atau usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 di Parlimen.
Dengan keputusan itu, RUU355 kekal sebagai usul persendirian Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Dalam pada itu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan mempersoalkan sama ada Najib boleh memberikan jaminan bahawa RUU355 tidak akan diberikan keutamaan dan mengarahkan Speaker agar tidak membenarkan ia dibentangkan di Parlimen.
“Kegagalan untuk berbuat demikian akan menyebabkan keputusan BN oleh Najib semalam itu seolah-olah tiada erti,” katanya.
Guan Eng menjelaskan bahawa DAP tetap dengan pendirian menolak usul Hadi itu kerana berpandangan bahawa ia bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia.
“RUU355 jelas tidak berperlembagaan kerana bercanggah dengan erti Merdeka serta asas-asas yang membentuk Malaysia,” ujarnya.
Malah, katanya, secara teknikal dan prosedur adalah salah untuk mengubah rangka perlembagaan dalam Perlembagaan Persekutuan dengan RUU biasa yang hanya memerlukan majoriti mudah dua pertiga atau sokongan 148 anggota Parlimen. – Roketkini.com