Rencana

Mansuhkan SOSMA

Sidang Dewan Rakyat kali ini, sekali lagi menyaksikan Menteri Dalam Negeri memasukkan satu usul untuk meneruskan kuatkuasa Seksyen 4 (5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau lebih dikenali dengan SOSMA.

Usul tersebut berbunyi seperti berikut :

“Bahawa Majlis ini membuat suatu ketetapan menurut sub-seksyen 4(11), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 supaya subseksyen 4(5), Akta ini hendaklah terus berkuatkuasa bagi tempoh 5 tahun lagi mulai dari 31 Julai 2017”

Usul ini adalah selaras dengan Seksyen 4 (11) Akta iaitu untuk mendapatkan persetujuan kedua-dua Majlis Parlimen untuk meneruskan kuat kuasa Seksyen 4 (5) Akta bagi tempoh 5 tahun lagi bermula 31 Julai 2017.

Untuk makluman semua Ahli Parlimen dan seluruh masyarakat awam, Seksyen 4 (5) SOSMA memperuntukkan kuasa kepada polis untuk menahan seseorang yang disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan untuk siasatan selama tempoh tidak lebih 28 hari. Penahanan selama 28 hari ini adalah atas kuasa pihak polis semata-mata yang tidak memerlukan seseorang yang disyaki dibawa ke Mahkamah untuk perintah tahanan reman. Selama tempoh penahanan 28 hari ini, orang yang disyaki akan melalui pelbagai proses siasatan yang memeritkan.

Tanggungjawab Ahli Parlimen

SOSMA ini telah digubal oleh Parlimen Malaysia pada tahun 2012 atas alasan menangani kes-kes keganasan.

Pada 16 April 2012 Perdana Menteri Malaysia, Yang Berhormat Pekan Dato’ Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (rujuk muka surat 5 – 6 Penyata Rasmi Dewan Rakyat D.R 16.04.2012), menyatakan dengan jelas seperti berikut :

Di bawah pindaan undang-undang ini, aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen ditafsir sebagai satu aktiviti yang dilakukan oleh seorang atau kumpulan orang dengan tujuan untuk menggulingkan atau melemahkan demokrasi berparlimen dengan cara yang ganas dan tidak berlandaskan perlembagaan. Secara mudahnya, jika ada mana-mana rakyat Malaysia sama ada individu, kumpulan atau parti politik berhajat merubah teras asas memerintah negara iaitu Demokrasi Berparlimen kepada misalnya pemerintahan yang bersifat teokratik, mereka haruslah menggunakan cara-cara yang diabsahkan oleh Perlembagaan Persekutuan yakni melalui peti undi untuk mendapat sokongan majoriti rakyat. Ini bersesuaian dengan prinsip bahawa rupa bentuk kerajaan hanya boleh ditentukan oleh rakyat itu sendiri.

Adalah amat jelas Perdana Menteri Malaysia yang juga dikenali sebagai ‘Malaysia Official 1’ menyatakan bahawa aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen ditafsir sebagai satu aktiviti yang dilakukan oleh seorang atau kumpulan orang dengan tujuan untuk menggulingkan atau melemahkan demokrasi berparlimen dengan cara yang ganas dan tidak berlandaskan perlembagaan.

Kesalahan berkaitan aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen diperuntukkan pada Seksyen 124B, 124C, 124D, 124E, 124F dan 124J Kanun Keseksaan. Setelah hampir 5 tahun SOSMA berkuatkuasa sudah ramai warganegara Malaysia ditahan untuk siasatan dan didakwa melalui SOSMA ini.

Sebelum ini selain daripada orang awam biasa yang tidak dikenali ditahan melalui SOSMA ini, terdapat juga beberapa kes tangkapan dan penahanan yang klasik seperti penahanan beberapa aktivis masyarakat yang terlibat dengan BERSIH. Antaranya, Maria Chin Abdullah yang telah ditahan polis di bawah peruntukkan Seksyen 124C Kanun Keseksaan iaitu percubaan melakukan aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen.

Kenapa Puan Maria Chin ditahan di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan? Apakah keganasan yang beliau lakukan? SOSMA hanya digunakan bagi tindakan keganasan. Itu suatu janji daripada Perdana Menteri ketika membentangkan akta tersebut. Tidakkah Polis dan Peguam Negara tahu dan faham segala peruntukkan dan tujuan penggubalan akta ini?

Tindakan polis menangkap dan menahan Maria Chin dan beberapa orang lain yang telah dilepaskan ialah suatu tindakan yang bercanggah dengan akta dan Perlembagaan. Sekarang Maria Chin sudah dibebaskan.

Terbaru seorang penuntut Ijazah Sarjana Usuluddin di Universiti Malaya bernama Siti Noor Aishah telah ditahan semula mengikut SOSMA walaupun setelah dibicarakan atas kesalahan yang sama di bawah akta yang sama, beliau dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi.

Siti Noor Aishah telah ditahan dan didakwa di Mahkamah Tinggi kerana memiliki buku-buku yang didakwa mempunyai unsur keganasan. Selepas perbicaraan selesai, Mahkamah Tinggi telah membebaskan beliau atas alasan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes mereka.

Malangnya Siti Noor Aishah sekarang ditahan semula kerana pihak pendakwaan telah membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Ini prosedur biasa di dalam SOSMA. Apabila seseorang didakwa bagi kesalahan keganasan yang dibicarakan melalui SOSMA, orang yang disyaki tidak boleh diikat jamin sehingga selesai perbicaraan. Jika selesai perbicaraan, beliau dilepaskan dan dibebaskan, pihak pendakwaan boleh memohon kepada Mahkamah supaya orang itu ditahan semula sehingga proses rayuan selesai. Ini suatu proses yang gila. Tertuduh telah dilepaskan dan dibebaskan tetapi boleh ditahan semula jika ada rayuan. Apa guna pembebasan jika boleh ditahan semula.

Nyata, jelas lagi terang bahawa SOSMA ini suatu perundangan yang gila. Membaca buku sahaja sudah dikira pengganas.

Sekarang, Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri mahu memohon kepada Parlimen untuk meneruskan kuatkuasa Seksyen 4 (5) bagi tempoh lima (5) tahun lagi.

Saya sebagai seorang warga negara Malaysia yang cintakan keamanan dan kebebasan serta hak warga negara yang sah memohon seluruh Ahli Dewan Rakyat menolak usul Menteri menghentikan penguatkuasaan SOSMA dan seterusnya memansuhkan SOSMA. Ahli Dewan Rakyat bertanggungjawab mempertahankan Perlembagaan yang mengangkat hak warga negara. Jangan jadi tunggul di dalam dewan.

Kuasa yang amat luas diberikan kepada pihak penguasa khususnya polis melalui SOSMA ini membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa dan memangsakan masyarakat awam. Malaysia yang aman tidak memerlukan undang-undang gila seperti ini.

Menentang kezaliman dan penyalahgunaan kuasa juga tuntutan Islam.

BERANI BERUBAH – TERUS UBAH – MALAYSIA BARU

*Zulhazmi Shariff ialah Ahli Biro Guaman DAP Kedah