Berita

Ismail Sabri terpaksa jual cerita dongeng raih simpati Melayu

MENTAKAB, 4 APR: Pemimpin UMNO sudah ketandusan idea dan terpaksa menjaja cerita dongeng perkauman semata-mata untuk menakutkan pengundi Melayu kepada Pakatan Harapan khususnya DAP dengan pelbagai tuduhan tidak masuk akal.

Ketakutan ini tergambar apabila Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Ismail Sabri baru-baru ini secara membuta-tuli menuduh Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang kononnya menipu penyokong Pakatan Harapan.

Ismail cuba menggambarkan kononnya Lim Kit Siang cuba memperdaya dan memperlekehkan orang Melayu dalam Pakatan Harapan melibatkan pelantikan ketua dalam gabungan itu yang kononnya didominasi DAP.

Hakikatnya, isu tersebut tidak perlu timbul kerana tidak ada sesiapa mendominasi Pakatan Harapan sebaliknya sebarang keputusan dalam gabungan ini dibuat secara musyawarah (konsensus).

“Sebenarnya Ismail Sabri dah tak ada modal lagi nak berhujah dengan fakta.

“Tak kiralah siapa yang jadi pengerusi Pakatan Harapan, semua keputusan dibuat secara konsensus,” kata Ketua Pembangkang DUN Pahang, Tengku Zulpuri Shah kepada Roketkini.

Tindakan pemimpin UMNO seperti itu jelas Tengku Zul hanya mencerminkan kegagalan mereka menakutkan pengundi Melayu terhadap DAP.

“Mereka nak gertak orang Melayu kononnya DAP nak musnahkan institusi Melayu seperti Felda, Mara dan sebagainya tapi tak menjadi. Kita dapat lihat siapa sebenarnya yang telah merosakkan institusi Melayu.

“Sebaliknya DAP bersama rakan-rakan Pakatan berjuang menuntut supaya institusi diurus secara telus dan dibersihkan dari rasuah,” jelas beliau.

Menurut Adun Mentakab itu, Ismail membuat kenyataan tersebut akibat terdesak dan tertekan dengan politik semasa yang semakin memperlihatkan kelemahan pentadbiran UMNO-BN.

“Mereka perlu tutup kelemahan mereka dengan politik takut-menakutkan. Alihkan perhatian rakyat.

“UMNO terlalu takut dengan DAP dan tidak habis-habis menghasut orang Melayu supaya fobia dengan dongeng mereka melalui kenyataan berbaur perkauman sempit.

“Namun, apa yang ditohmah UMNO selama ini terhadap DAP hanyalah mainan persepsi semata-mata tanpa bersandar kepada realiti bagaimana rakyat Malaysia, orang Melayu, mendapat manfaat besar dalam pentadbiran Pakatan Harapan di Pulau Pinang dan Selangor,” katanya lagi. –Roketkini.com