Rencana

‘Jangan main-main’

Tiga tahun sudah berlalu namun suara mendiang Karpal Singh terus bergema mengingatkan kita rakyat Malaysia bahawa tiada sesuatu yang mengatasi kedaulatan Perlembagaan Persekutuan, tidak kiralah Perdana Menteri mahupun kerajaan Barisan Nasional.

Pada 10 April 2014, Ahli-Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dari Dewan Rakyat bagi membantah keputusan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat mengenai usul yang disokong 63 ahli berhubung tindak tanduk tiga Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Aziah Ali, Datuk Balia Yusuf Wahi and Datuk Zawawi Salleh melibatkan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang diusulkan oleh Ahli parlimen Gombak, bilamana usul tersebut telah diturunkan ke nombor 21 dalam Aturan Mesyuarat dan gagal dibahaskan Dewan.

Bantahan terhadap tindakan Speaker kerana tidak menggunakan kuasanya membenarkan perbahasan usul tersebut akhirnya telah menyebabkan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Azmin Ali dan Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin dihalau keluar dari Dewan Rakyat sebelum tamat sesi tengahari.

Pada Khamis itu juga, mendiang Karpal mengungkapkan kata-kata yang selamanya akan terpahat di Dewan yang mulia serta jiwa dan minda Ahli-ahli Parlimen selain seluruh rakyat Malaysia supaya tidak merendah-rendah dan mempermainkan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi tanah air kita.

Kata-kata akhir mendiang, “Tuan Speaker, jangan main-main dengan Perlembagaan” bergema dalam perbahasan terakhirnya dengan penuh tegas mengingatkan Speaker supaya sentiasa mendahulukan Perlembagaan Persekutuan mengatasi Aturan Mesyuarat yang digunakan dalam Dewan Rakyat.

Dengan sangat tenang tetapi tegas, beliau memberi peringatan kepada Speaker bahawa usul di bawah Aturan Mesyuarat 36(8) oleh Ahli Parlimen Gombak berkenaan sekatan ke atas perbahasan tersebut perlu dibuat selaras Perkara 127 Perlembagaan Persekutuan tentang perbahasan mengenai kelakuan hakim, yang menyatakan:

“Kelakuan seseorang hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi tidaklah boleh dibincangkan di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen kecuali atas suatu usul khusus yang notis mengenainya telah diberikan oleh tidak kurang daripada satu perempat daripada jumlah bilangan ahli Majlis Parlimen itu, dan tidaklah boleh dibincangkan di dalam Dewan Undangan mana-mana Negeri”

Di manakah lagi tempat yang boleh kita bahaskan kelakuan hakim jika bukan di Parlimen oleh wakil-wakil rakyat, namun begitu Speaker telah menggunakan budi bicaranya untuk menafikan perbahasan tersebut..

Tiga tahun lalu saya yang duduk sebelah Karpal, berasa sangat kagum dan hormat dengan sosok yang tidak lelah berjuang demi kebenaran, serta semangatnya kental membela yang tertindas tanpa mengkompromi prinsipnya untuk berkata benar tanpa takut demi keadilan, kehormatan dan kesaksamaan.

Sidang Parlimen terakhir yang dihadiri beliau itu tepat pada masanya dan satu peringatan kepada kita rakyat Malaysia bahawa tiada sesiapa yang boleh mengatasi Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara, yang merupakan satu-satunya asas tunggal kepada perundangan negara yang tiada tara – suatu peringatan yang tepat pada masanya untuk badan kehakiman, Perdana Menteri dan kerajaan Barisan Nasional.

Hari ini kami memperingati saudara Karpal Singh, bukan kerana kerinduan mendalam kami terhadapnya, tetapi kerana beliau telah meninggalkan legasi untuk kami pikul ke hadapan supaya semangat Harimau Jelutong mengiringi semangat perlembagaan, bukan sekadar menyala, tetapi menjadi obor dan azam membentuk kerajaan di Putrajaya. – Roketkini.com

*Kasthuri Patto adalah Ahli Parlimen Batu Kawan