Berita

Pertembungan 3 penjuru sukarkan agenda perubahan

KLUANG, 17 APR: DAP Johor berikrar untuk membawa kemenangan kepada parti-parti komponen Pakatan Harapan yang akan bertanding di negeri ini dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang walaupun terpaksa menghadapi pertandingan tiga penjuru.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali berkata, kerusi yang ditandingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), DAP, PKR, dan Amanah di peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) akan menjadi sasaran utama gerak kerja Pakatan Harapan.

“Apa jua cabaran termasuklah kemungkinan untuk berhadapan pertandingan tiga penjuru akan dihadapi dalam bentuk kolektif.

“Ini komitmen DAP. Menyedari realiti politik tanah air yang menuntut kerjasama erat antara parti untuk berhadapan Barisan Nasional dan sekutunya, kemenangan bersama parti-parti Pakatan Harapan adalah suatu kemestian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Pakatan Harapan boleh membentuk kerajaan negeri di Johor hanya dengan kemenangan secara bersama.

“Dalam erti kata lain, strategi untuk merangka kemenangan bersama parti-parti komponen tidak boleh sama sekali dipandang enteng,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed seperti dilaporkan media semalam mengenai hasrat PAS Johor untuk bertanding lebih 40 kerusi di peringkat Parlimen dan DUN di negeri ini dalam PRU-14.

“Bagaimanapun, keputusan bertanding berapa banyak kerusi bergantung kepada keputusan Muktamar PAS nanti sama ada memutuskan hubungan atau tidak dengan PKR, yang kemudian perkara itu ditentukan pula oleh Majlis Syura Ulama,” kata Mahfodz.

Mengulas lanjut, Sheikh Omar berkata, beliau mengambarkan sikap PAS itu sebagai mementingkan diri sendiri.

“Jika PAS terus mengambil pendirian sebegini, hasrat untuk melakukan agenda perubahan di peringkat negeri dan nasional sukar direalisasikan.

“Justeru, DAP mengulangi komitmen untuk bekerja keras bagi memastikan kemenangan parti-parti Pakatan Harapan dalam PRU yang akan datang,” katanya. – Roketkini.com