JOHOR BAHRU, 18 APR: DAP kesal dengan tindakan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang menunda tarikh keputusan temuduga bagi jawatan doktor pelatih.
Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata, keputusan temuduga yang sepatutnya dipamerkan di laman web rasmi SPA pada 17 April itu telah ditunda agensi berkenaan ke satu tarikh yang tidak ditetapkan.
Malah, katanya, terdapat juga aduan di mana pemohon diminta untuk menghantar semula dokumen yang diperlukan SPA selepas daripada tarikh tersebut, meskipun mereka telah menjalani proses temuduga sejak sebulan yang lepas.
“Kegagalan SPA untuk menepati tarikh yang ditetapkan dan meminta supaya pemohon menghantar semula dokumen yang diperlukan di saat-saat akhir menunjukkan betapa tidak efisyen dan tidak bersedianya SPA,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP, pelajar perubatan yang terlalu menunggu lama untuk jawatan tersebut akan kehilangan kemahiran dan pengetahuan yang dipelajari mereka ekoran kekurangan latihan.
“Seperti kata pepatah: ‘Belakang parang kalau diasah lagikan tajam’,” ujarnya.
Tambahan pula, katanya, tindakan SPA melengah-lengahkan keputusan temuduga tersebut akan mengakibatkan pemohon kehilangan peluang kerja yang lain serta sumber pendapat untuk membayar pinjaman pelajaran.
Selain itu, katanya, akibat ketiadaan petugas baru untuk menggantikan doktor pelatih yang dinaikkan pangkat, doktor pelatih sedia ada terpaksa menanggung beban kerja yang berat sehingga mengalami keletihan dan cenderung melakukan kesalahan. – Roketkini.com