Berita

AES: Hukum dua kali atas kesalahan sama langgar prinsip Perlembagaan

KUALA LUMPUR, 18 APR: Penguatkuasaan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) oleh kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) bermula 15 April lepas didakwa melanggar prinsip undang-undang tertinggi negara.

AWAS yang menggabungkan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Keselamatan Jalan Raya (KEJARA) itu membenarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menghukum pesalah trafik sebanyak dua kali atas kesalahan yang sama.

Timbalan Pengerusi Protes AES (PROTAES), Faiz Fadzil berkata, tindakan itu bertentangan dengan Perkara 7(2) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa seseorang tidak boleh dibicarakan dua kali atas kesalahan yang sama (double jeopardy).

“Walaupun kemalangan jalan raya adalah isu kritikal dalam negara, tindakan menghukum dua kali adalah tindakan yang tidak adil kepada pengguna jalan raya dan bukan bersifat penyelesaian jangka pendek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Melalui pelaksanaan AWAS, katanya, pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan memandu melebihi had laju yang dirakam menerusi AES akan dikenakan tawaran kompaun minimum sebanyak RM150 atau maksimum RM300.

“Sesiapa yang membayar kompaun yang ditawarkan pula akan dipotong mata demerit untuk jumlah tertentu di mana mata demerit permulaan sebanyak 20 mata akan dipotong dan lesen memandu boleh digantung untuk tempoh tertentu jika kesemua 20 mata itu habis dipotong.

“Bukankah tindakan ini menambah beban pengguna jalan raya sesudah kompaun kesalahan trafik dibayar, ditambah dengan keadaan keperitan rakyat hari ini akibat peningkatan kos sara hidup yang tinggi,” ujarnya.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Nadzri Siron seperti dilaporkan media pada 2 April lepas berkata, hanya dua daripada 21 kesalahan akan dikenakan tindakan mengikut AWAS.

Katanya, dua kesalahan itu adalah memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat merah.

AES untuk bayar ganti rugi LTAT?

Dalam pada itu, Faiz yang juga Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) mempersoalkan sama AES dilaksanakan atas tujuan untuk membayar semula kerugian yang ditanggung Lembaga Tabung Angkat Tentera (LTAT) berikutan pengambilalihan sistem tersebut.

“Ini kerana segala peralatan AES dahulunya dimiliki syarikat swasta iaitu Beta Tegap dan Ates Sdn Bhd yang kemudiannya diambilalih oleh LTAT melalui anak syarikatnya Irat Properties Sdn Bhd dengan modal pengambilalihan AES berjumlah RM555 juta,” katanya.

Katanya, PROTAES turut mempersoalkan sama ada anggota tentera menikmati keuntungan yang setimpal menerusi pelaburan besar yang dibuat LTAT itu.

“Apakah faedah yang akan dinikmati oleh anggota tentera sedangkan kebajikan mereka yang seharusnya dipedulikan? Sekali lagi, wang rakyat digunakan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu atas alasan kepentingan rakyat,” katanya. – Roketkini.com