Berita

Jangan mudah terpedaya dengan mainan fitnah perkauman BN – Lim Guan Eng

*Kredit foto Buletin Mutiara

PERMATANG PASIR, 18 APR: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengingatkan pemimpin politik, masyarakat dan rakyat negeri itu supaya tidak terpedaya dengan mainan fitnah perkauman yang sering dimainkan parti lawan.

Menurut beliau, mainan perkauman MCA yang merupakan parti komponen Barisan Nasional (BN) amat berbahaya kepada keharmonian rakyat pelbagai kaum dan mampu memecahbelahkan perpaduan rakyat.

“Mainan perkauman ini sangat bahaya, dan boleh pecah-belahkan rakyat.

“Sebelum ini, pimpinan MCA tuduh saya ambil undi Cina tetapi tolong orang Melayu, ada juga yang cakap saya tidak tolong Melayu dan anti Islam. Namun, bila kita kemukan angka dan fakta isu ini dilihat reda,” katanya seperti dilapor Buletin Mutiara.

Tegasnya, kerajaan negeri sentiasa memberi bantuan kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang

Beliau berkata kepada media di Majlis Kenduri Rakyat Sempena Perasmian Pusat Khidmat Permatang Pasir dekat Kampung Petani dekat sini.

Katanya, Pakatan Harapan negeri perlu memberi tumpuan kepada perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Fokus kepada rakyat terlebih dahulu, kita tidak mahu bercakap mengenai pilihan raya lagi.

“Di sini kita berharap agar perkhidmatan terbaik dapat diberikan oleh beliau (Mohd. Azhar) kepada rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir,” kata Setiausaha Agung DAP itu.

Dalam majlis itu, Guan Eng turut menyampaikan sumbangan kepada pengerusi-pengerusi masjid dalam DUN Permatang Pasir, golongan kurang berkemampuan dan penggali-penggali kubur.

Beliau turut mengadakan ziarah dan menyampaikan sumbangan kepada adik Nur Amalia Danisyah, 17, yang mengalami gangguan kesihatan.

Hadir sama ke majlis itu ialah Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim; Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong; Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Khas, Mohd. Azhar Che Mat Dali; Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu; kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). –Roketkini.com