Berita

‘Jangan cepat melatah Khairul Azwan’

SUBANG JAYA, 19 APR: Pengarah Pendidikan Politik Pemuda DAP Subang, Farhan Haziq menegur tindakan Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun supaya tidak mengalihkan isu utama rakyat dengan menyerang pihak lain.

Kenyataan ini dibuat ekoran serangan berbaur perkauman yang dibuat Khairul terhadap Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berhubung pelantikan Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

“Adakah beliau sudah panas punggung kerana analisis saudara Lim Kit Siang mengena tepat kepada perancangan UMNO-Barisan Nasional (BN) untuk memperkukuhkan kedudukan Datuk Seri Najib Razak dan mencabar kedudukan Datuk Seri Zahid Hamidi selaku orang nombor dua?

“Untuk tidak menampakkan riak-riak perpecahan di kalangan akar umbi, beliau menuding jari tidak tentu hala kepada DAP dan Saudara Lim Kit Siang untuk mempertahankan tindakan Najib Razak ini,” kata Farhan dalam kenyataannya.

Menurut beliau, ini bukan kali pertama Senator UMNO itu bertindak sedemikian.

Khairul sebelum ini juga pernah membuat laporan polis terhadap tiga penjawat awam yang menduduki task force 1MDB iaitu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed, bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail kononnya berkonspirasi untuk menjatuhkan Perdana Menteri.

Namun, sehingga saat ini tiada bukti yang boleh disabitkan dengan dakwaannya dan ternyata tindakan tersebut hanya langkah populis mengambil hati Najib Razak.

“Kini sekali lagi beliau membuat reaksi yang sama untuk mempertahankan tindakan Datuk Seri Najib melantik Datuk Seri Hishammudin. Modus operandinya cukup mudah, serang mereka yang mengkritik Najib Razak dengan isu perkauman,” jelas Farhan.

Farhan berkata, Khairul perlu sedar bahawa partinya sentiasa bersifat perkauman.

“Persempadan semula SPR di bawah pemerintahan Najib Razak merupakan dasar perkauman yang jelas apabila dengan sengaja memecahkan kawasan campuran kaum dan menukarkannya kepada kawasan majoriti Melayu dan Cina. Ini semua adalah langkah perkauman yang boleh membahayakan perpaduan negara.

“Bukan itu sahaja, baru-baru ini, sebanyak 92.8 peratus bantahan telah dibuat terhadap pemilih baru yang berbangsa Cina dan bantahan tersebut berlaku di 30 kawasan yang merupakan kerusi yang ditandingi UMNO,” ujarnya lagi. -Roketkini.com