Berita

ECRL: Landasan Gombak-Pelabuhan Klang hilang dari peta?

PETALING JAYA, 19 APR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) digesa menjelaskan perancangannya berhubung projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) di Selangor.

Gesaan itu dibuat Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin, ekoran peta yang dipamerkan SPAD dalam sesi Pameran Awam ECRL itu tidak memasukkan sebahagian besar pelan rancangannya di negeri ini.

Peta berkenaan, katanya, tidak memasukkan laluan rel yang menghubungkan Gombak ke Pelabuhan Klang (Gambar).

Menurut kakitangan SPAD, katanya, laluan rel Gombak-Pelabuhan Klang sepanjang 60 kilometer (km) itu akan dimasukkan dalam fasa kedua projek tersebut.

Laluan rel Gombak-Pelabuhan Klang hilang dari peta

“Ini sangat pelik. Penyokong projek berkenaan sering memuji-muji bahawa ECRL berpotensi menghubungkan pelabuhan timur dan barat di Semenanjung Malaysia, sebagai contoh Kuantan dan Pelabuhan Klang.

“Jika sambungan Kuantan-Pelabuhan Klang penting, mengapa laluan rel Gombak-Pelabuhan Klang tidak disertakan dalam pameran awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bee Yin turut memetik laporan The Straits Time mengenai rancangan kerajaan Malaysia yang mahu memberi keutamaan terhadap pembinaan landasan sepanjang 250 km yang menghubungkan Kuantan dan Pelabuhan Klang.

Mengikut perancangan asal ECRL, Gombak adalah salah satu stesen yang menghubungkan Kuantan dan Pelabuhan Klang.

Pameran Awam ECRL itu diadakan di Ibu Pejabat SPAD di Kuala Lumpur dan 38 lokasi yang terpilih bermula 8 Mac sehingga 5 Jun.

Bee Yin yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Selangor turut mempersoalkan sama ada kerajaan Persekutuan yang diketuai UMNO mempunyai perancangan untuk mengenepikan kerajaan Selangor dalam proses membuat keputusan mengenai projek berkenaan.

“Adakah mereka akan memaksa kami untuk menerima apa sahaja rancangan masa depan mereka? Adakah kerajaan Persekutuan cuba menyembunyikan sesuatu tentang projek ini?” soalnya.

Projek ECRL dengan kos RM55 bilion itu, katanya, memerlukan 1,000 bidang tanah di negeri ini selepas penjajaran dimuktamadkan kerajaan negeri.

“Ia memberi banyak kesan ekonomi dan sosial kepada rakyat Selangor. Oleh itu, kerajaan negeri dan rakyat Selangor berhak mendapat maklumat lebih baik mengenai projek ini,” katanya.

Beliau turut mengulangi desakan agar projek ECRL lebih telus dalam menjawab pelbagai persoalan yang berbangkit.

Persoalan itu antara lain mengenai kajian kebolehlaksaan yang dilakukan HSS Integrated Sdn Bhd, rangka perjanjian kewangan yang ditandatangi di Beijing 1 November 2016 dan anggaran jumlah penumpang dan harga tiket bagi penumpang dan pengangkutan kargo.

“Hanya dengan maklumat di atas orang ramai boleh menilai sama ada projek ini setimpal dengan kosnya dan sama ada pembiayaan projek berkenaan dilakukan secara betul,” ujarnya. – Roketkini.com