Rencana

Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan

Akhirnya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengakui bahawa penceramah bebas, Zakir Naik telah diberikan status penduduk tetap (Permanent Residence) sejak lima tahun lepas. Kenyataan beliau ini cukup mengejutkan kerana kerajaan dilihat begitu mudah membenarkan sesiapa sahaja untuk mendapat taraf penduduk tetap (PR) di Malaysia.

Tambahan pula, individu yang diberikan taraf penduduk tetap ini adalah orang yang cukup dikehendaki di negara asalnya, India kerana terlibat dalam beberapa siasatan jenayah.

Saya cukup bimbang dengan perkembangan ini kerana tindakan kurang bijak kerajaan memberikan status PR kepada Zakir Naik sedangkan beribu-ribu anak yang lahir di Malaysia masih tidak memiliki kad pengenalan atau dikenali sebagai stateless children.

Lebih membingungkan, Zahid Hamidi sendiri mengakui bahawa lebih 300,000 kanak-kanak tidak memiliki kerakyatan di negara ini. Perkara ini cukup menyedihkan kerana mereka berdepan dengan kesukaran mendapatkan akses pendidikan, kesihatan dan keselamatan yang sewajarnya. Mereka hidup dalam keadaan kesempitan akibat kegagalan kerajaan untuk mengiktiraf kewujudan mereka.

Namun, tanpa menyelesaikan masalah ini, Putrajaya dilihat mudah meluluskan status PR kepada Zakir Naik yang tidakpun menetap di Malaysia. Ini yang kita tahu, yang tidak kita tahu entah siapa-siapa lagi turut diberikan PR. Malah, berdasarkan rekod, beliau tidak pun berkahwin atau mempunyai keluarga di Malaysia ini yang mewajarkan status penduduk tetap diberikan kepadanya.

Ironinya, bagi kanak-kanak yang tiada status kerakyatan, ada yang terpaksa membawa kes ke mahkamah untuk semakan kehakiman. Namun, Mahkamah Rayuan pada 16 Mac 2017 telah menolak permohonan seorang kanak-kanak berusia 6 tahun untuk mendapatkan status kerakyatan kerana kegagalan untuk mengemukakan bukti bahawa mereka tidak dilahirkan di negara lain. Tahap pembuktian yang tinggi ini sememangnya menyukarkan permohonan beribu-ribu lagi anak yang tidak mempunyai kad pengenalan di Malaysia ini.

Perkara ini tidak berlaku kepada Zakir Naik kerana dengan begitu mudah beliau dianugerahkan status penduduk tetap. Ibarat kata pepatah Melayu, “kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan” yang diamalkan oleh kerajaan ini perlu dikecam kerana mengutamakan individu luar yang mempunyai pelbagai siasatan jenayah dan cuba melarikan diri ke Malaysia.

Saya menegaskan bahawa Putrajaya perlu berlaku adil kepada rakyat Malaysia dan tidak terlalu mengagungkan warga luar hanya semata-mata beliau petah berbicara. Begitu banyak ulama dan cendekiawan di Malaysia ini yang memerlukan pembelaan yang sewajarnya berbanding Zakir Naik yang pada masa yang sama menyentuh sensitiviti warga Hindu di Malaysia ini. Hormatilah keamanan dan perpaduan di antara agama dan kaum di Malaysia dan janganlah kerana nila setitik, rosak satu negara. – Roketkini.com

*Farhan Haziq ialah Pengarah Pendidikan Politik Sosialis Muda DAP (DAPSY) bagi kawasan Subang