Berita

Masalah perkahwinan bawah umur bukan isu kaum atau agama tertentu

JOHOR BAHRU, 19 APR: Masalah perkahwinan bawah umur bukanlah isu melibatkan satu-satu kaum atau agama tetapi merupakan masalah kepada semua yang berdepan dengan situasi tersebut.

Justeru, Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata tuduhan jahat kononnya usaha menentang perkahwinan bawah umur sebagai anti-Islam adalah meleset.

Malah, katanya, pada 19 Disember tahun lalu, kerajaan Malaysia menerima pakai resolusi kedua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkenaan perkahwinan paksa melibatkan kanak-kanak.

“Isu ini bukan melibatkan satu-satu kaum atau agama sahaja.

“Kenapa wacana berkenaan perkara ini tidak menumpukan kepada aspek kebajikan kanak-kanak dan fokus kepada pro – kontra perkahwinan kanak-kanak?” soal Nie Ching.

Beliau berkata demikian mengulas kecenderungan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Shabudin Yahaya yang menggambarkan kelantangan DAP membela mangsa rogol dan perkahwinan kanak-kanak bawah umur sebagai anti-Islam.

Malah, jelas Nie Ching majoriti negara Islam seperti Mesir, Algeria dan Moroko juga telah meminda undang-undang mereka dengan menjadikan usia 18 tahun bagi lelaki dan perempuan sebagai had umur untuk berkahwin.

Menurut Penolong Setiausaha Publisiti DAP itu, resolusi PBB yang diterima pakai kerajaan Malaysia berkaitan perkahwinan paksa kanak-kanak itu perlu menjadi kayu pengukur kepada semua pembuat dasar negara ini.

“Resolusi PBB itu juga meminta kerajaan membuat laporan terkini secara menyeluruhbagi mengakhiri perkahwinan paksa kanak-kanak untuk diserahkan kepada badan-badan perjanjian antarabangsa melalui High-Level Political Forum (HLFP) yang akan diadakan pada Julai 2017.

“Jadi, jika Shahbudin masih bertrusan melabel DAP sebagai anti-Islam, saya cadangkan beliau menyatakannya sendiri kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin oleh Najib Razak,” kata Nie Ching.