Berita

Kemelut elektrik DUN Tulid, Pensiangan jejas 5,000 penduduk 20 kampung

PENSIANGAN, 19 APR: Sekurang-kurangnya 5,000 penduduk orang asal dari 20 kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid dekat sini terjejas akibat terputus bekalan eleKtrik selama 13 jam.

Ketiadaan bekalan elektrik seperti ini juga bukan sesuatu yang asing malah sering berlaku di kawasan yang diwakili Barisan Nasional (BN) itu.

Menurut Penyelaras DAP Tulid, Robinson Rusikan, dalam tempoh bulan ini saja, sudah empat hingga enam kejadian putus bekalan elektrik berlaku dan pernah berlanjutan sehingga dua hari berturut-turut.

Apa yang menyedihkan ujar Robinson, kejadian putus bekalan elektrik yang berlaku baru-baru ini juga telah menjejaskan sambutan Hari Paskah pada Ahad lalu yang disambut oleh majoriti penduduk beragama Kristian di situ.

Robinson Rusikan, Penyelaras DAP Tulid

Jelasnya, alasan yang diberikan oleh wakil kontraktor Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) bahawa ketiadaan elektrik pada hari itu berpunca daripada kerja kerja penyelenggaraan yang dijalankan tidak boleh diterima.

“Agak tidak masuk akal jika mereka tidak mengetahui hari itu merupakan hari sambutan perayaan Paskah, dan amat menghairankan jika mereka tidak tahu, kebanyakan masyarakat kampung di mukim Tulid ini adalah penganut Kristian,” katanya.

Menurut Robinson, rata-rata penduduk kampung telah pun mengatur pelbagai program dan aturcara keagamaan untuk menyambut hari kebesaran itu, namun terpaksa juga diteruskan walaupun tergendala akibat terputus bekalan elektrik.

“Seluruh penduduk Kampung di Tulid, merasa sangat marah dan kecewa dengan tindakan kontraktor SESB yang seolah-oleh tidak peka dan tidak mahu ambil peduli keadaan semasa apabila membuat kerjapenyelenggaraan.

“Sepatutnya wakil rakyat dan pihak kerajaan membuka mata dan ambil tahu perkara ini. Sebagai kontraktor yang dilantik oleh SESB seharusnya mereka lebih profesional dan efisyen dalam merangka jadual kerja-kerja penyelengaraan dan bukannya membuta-tuli sahaja,” kata Robinson.

Perkakasan elektrik rosak

Dalam perkara berkaitan, Robinson turut menerima banyak aduan penduduk kampung yang mengatakan ada antara barangan elektrik mereka telah rosak akibat sering mengalami gangguan bekalan elektrik.

“Bukan saja itu, ada juga di antara peniaga peniaga runcit yang mengalami kerugian kerana barangan segar serta beku rosak disebabkan ketiadaan elektrik.

“Saya berharap pihak kerajaan dan pihak yang berwajib, menyiasat dan segera bertindak bagi mengatasi masalah dan kesengsaraan yang sudah lama ditanggung oleh penduduk kampung di Tulid ini,” gesanya.

Jangan tangguh lagi bekalan elektrik

Adrian Lasimbang, Penyelaras DAP Pensiangan, Pengarah Pendidikan Politik DAP Sabah

Penyelaras DAP Pensiangan, Adrian Lasimbang pula menggesa kerajaan Sabah dan Persekutuan supaya mempercepatkan penyambungan bekalan tenaga elektrik ke beberapa kawasan di Parlimen tersebut.

Antara kampung yang masih belum mendapat bekalan elektrik kata Adrian ialah beberapa kawasan di Kg Bonor, Kg Malaing, Kg Katalirus sehingga ke Kg Lumiri meskipun tiang dan kabel elektrik sudah terpasang sejak sekitar tujuh tahun lalu.

“Ini merupakan salah satu ‘hutang’ janji BN kepada rakyat di kawasan Sook, Pensiangan.

“Masih banyak lagi kawasan yang sudah di pasang tiang dan kabel eletrik tapi sehingga kini masih tiada penyambungan dibuat. Mungkin juga janji BN tujuh tahun lalu, hanya memacak tiang dan menggantung kabel,” sindirnya.

Adrian yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP Sabah itu berkata, tempoh tujuh tahun bukanlah masa yang singkat.

Akibat situasi itu, rakyat di Daerah Sook khususnya hidup dalam keadaan daif dan serba kekurangan.

“Yang pasti, mereka mahukan pembelaan yang boleh diterjemah dan bukan hanya harapan yang penuh dengan janji-janji kosong,” katanya lagi.

Adrian berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat Koordinasi DAP Pensiangan bersama Ahli Jawatankuasa Tetap DAP Pensiangan untuk kali yang kelima di pejabat Pusat Khidmat DAP Pensiangan baru-baru ini. –Roketkini.com

*Kee Helmy merupakan Pegawai Perhubungan dan Media DAP Pensiangan