KUALA LUMPUR, 19 APR: Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan bidang tugas memantau isu keselamatan Sabah yang diberikan kepada Menteri dengan Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai tidak munasabah dan melucukan.
“Adakah tidak cukup kedudukan sebagai Menteri Pertahanan bagi menjamin keselamatan di Sabah atau (ia) satu sindiran sinis terhadap (Datuk Seri) Zahid Hamid sebagai Menteri Dalam Negeri yang tidak cekap menjalankan tugasnya?” soal Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub dalam kenyataan, hari ini.
Hishammudin adalah Menteri Pertahanan.
Hishammudin pada 17 April lepas memaklumkan bahawa satu daripada tugasnya selepas dilantik sebagai menteri di JPM adalah untuk membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memantau keselamatan Sabah dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).
“Jawatan saya sebagai Menteri dengan Tugas-tugas Khas di JPM adalah membantu PM (perdana menteri) untuk bekerjasama rapat dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.
“Semua sedia maklum bahawa jawatankuasa pemantau Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) dipengerusi oleh PM sendiri manakala Lembaga Penasihat Esszone dipengerusikan bersama TPM (timbalan perdana menteri) serta Ketua Menteri Sabah,” kata Hishammuddin dipetik laporan media.
Dengan pelantikan Hisammuddin ke dalam JPM, jabatan itu kini mempunyai sembilan menteri.
“Sekiranya beginilah cara Najib mengurus tadbir negara ini, adalah sangat malang bagi rakyat negara ini memiliki PM yang sangat lemah kewibawaannya.
“Dengan kewujudan lapan Menteri di JPM, Najib masih memerlukan seorang lagi Menteri untuk menjalankan tugas-tugas khas? Ternyata ini adalah merupakan satu lagi pembaziran tenaga dan wang rakyat,” ujar Salahuddin.
Justeru, katanya, Najib mesti menjelaskan kepada rakyat berhubung isu tugas-tugas khas Hishammudin yang kini masih dianggap sebagai ‘misteri’.
“Adakah kemungkinan tugas-tugas khas yang Najib pertanggungjawabkan itu adalah tugas-tugas ‘rahsia dan kotor’ untuk membersihkan golongan tertentu dalam beberapa isu dan skandal mega seperti 1MDB, MO1 (Malaysian Official 1), Felda, Tabung Haji dan lain-lain?
“Rakyat menuntut ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam masalah yang sangat melucukan ini,” katanya. – Roketkini.com