Berita

Jaringan jalan raya Sarawak perlu diperbaiki sebelum bina LRT

KUCHING, 20 APR: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg diminta menyelesaikan masalah perhubungan darat dan kelemahan pengangkutan awam di Sarawak sebelum membina sistem aliran transit ringan (LRT) menjelang 2020.

“Tiada guna Abang Jo bercadang untuk membina LRT di Sarawak jika masalah perhubungan jalan dan pengangkutan awam tidak diselesaikan dengan segera,” kata Setiausaha Publisiti Sosialis Muda DAP Petra Jaya, Abdul Aziz Isa.

Ini termasuk cadangan membina jambatan di kawasan yang tidak memiliki jaringan jalan raya dan hanya bergantung kepada pengangkutan air seperti Samarahan-Asajaya, Belawai-Pulau Bruit, Matu-Daro, Sibu-Kapit, Saribas-Kalaka dan Batang Lupar.

Menurutnya, akibat ketiadaan perhubungan jalan raya, banyak kejadian bot karam berlaku sehingga meragut banyak nyawa sebelum ini.

Selain itu, beliau juga mencadangkan supaya kerajaan Sarawak menyediakan perkhidmatan bas percuma dengan menambah bilangan bas dari 100 kepada 400 buah melalui pengambilalihan syarikat-syarikat pengangkutan bas awam.

“Ia akan melibatkan kos sebanyak RM385 juta untuk lima tahun bagi pengambilalihan, operasi, pengurusan, penambahan jumlah bas dan perkhidmatan percuma,” ujar Pembantu Khas Pengerusi DAP Sarawak itu.

Akibat kekurangan jaringan jalan raya dan susur atas, Aziz berkata jalan sekitar Bandar Kuching, Kota Samarahan dan Petra Jaya semakin sesak terutamanya di kawasan Batu Lintang, MJC Batu Kawah, Batu Empat, Batu Tujuh, dan Batu Sepuluh.

Aziz turut melontarkan beberapa persoalan jika kerajaan Sarawak masih mahu membina sistem LRT melibatkan ketelusan pemberian kontrak dan pengurusan.

“Adakah projek akan diberi secara tender terbuka atau rundingan terus menggunakan kaedah ‘pintu belakang’? Adakah ianya diberi kepada syarikat-syarikat kroni BN dengan ‘untung atas angin’?

“Adakah projek ini akan siap mengikut jadual seperti yang dicadangkan Abang Jo tanpa berlakunya sekarang kelewatan yang akan meningkatkan kos projek?

“Adakah projek tersebut akan diberikan kepada syarikat seperti OBYU, CMS, Naim Chandera, Hock Seng Lee atau KACC yang mempunyai pengerusi, pengarah, ahli lembaga pengarah dan pemilik saham yang ada hubungan langsung atau tidak langsung dengan pegawai tertinggi kerajaan serta pemimpin dan wakil rakyat BN?” soalnya lagi. –Roketkini.com