Berita

SPR tidak bebas, tak guna tambah deposit bantah pengundi diragui

JOHOR BAHRU, 21 APR: “Masalah pokok adalah kegagalan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk bertindak secara bebas dan amanah. Peningkatan bayaran deposit tidak akan menyelesaikan masalah, malah akan membina rintangan yang berpihak kepada parti kaya.”

Demikian kata Adun Mengkibol, Tan Hong Pin bagi menjawab cadangan Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah yang mahu SPR meningkatkan deposit dari RM100 kepada RM200 terhadap pembantah yang ingin membuat bantahan ke atas nama pengundi yang diragui.

Menurut Hong Pin, cadangan seumpama itu tidak akan menjadi masalah kepada UMNO-Barisan Nasional (BN) yang mempunyai sumber kewangan yang besar berbanding pembangkang dan orang awam yang mempunyai dana yang terhad.

“Mereka (UMNO-BN) mampu untuk berbuat demikian, walaupun cukup tidak beretika dan merosakkan sistem demokrasi,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini .

Justeru, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Johor sekali lagi mencadangkan agar SPR melaksanakan sistem pendaftaran pengundi secara automatik dan pembersihan daftar pengundi.

Katanya, ia bagi mengurangkan masalah birokrasi dan bagi memastikan seseorang pengundi itu didaftarkan di alamat tempat tinggal selaras dengan peruntukan Perkara 119, Perlembagaan Persekutuan.

“DAP akan cuba menyakinkan BERSIH dan badan bukan kerajaan lain yang sependapat supaya menumpukan usaha pada kempen pendaftaran pengundi secara automatik dan pembersihan Daftar Pemilih,” ujarnya. – Roketkini.com