Berita

Kerajaan P. Pinang usahakan tapak arkeologi Guar Kepah dapat taraf warisan UNESCO

*Kredit foto Buletin Mutiara

PENAGA,26 APR: Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhasrat untuk mengklasifikasikan tapak penemuan manusia purba berusia 6,000 tahun di Guar Kepah sebagai satu lagi tapak warisan dunia di bawah UNESCO.

Perkara itu disampaikan oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang berkata akan membuat permohonan bagi tujuan tersebut kepada Jabatan Warisan Negara selepas kerja-kerja penyelidikan selesai sepenuhnya.

“Kita ada tapak warisan UNESCO di George Town, maka saya rasa di sini pun layak untuk dijadikan tapak warisan UNESCO, di bawah kategori tapak arkeologi dunia.

“Di Perak ada Perak Man, kita di Pulau Pinang ada Penang Women. Kita (Kerajaan Negeri) ada harapan tinggi akan dapat kesan lagi kerangka manusia sejarah,” katanya seperti dilapor Buletin Mutiara ketika membuat lawatan tapak tersebut.

Menurut Guan Eng, kerajaan negeri melalui Perbadanan Ketua Menteri akan bekerjasama dengan ThinkCity dan Jabatan Warisan Negara untuk mewujudkan sebuah galeri yang bakal dibina kelak.

Beliau tuut memaklumkan media bahawa peruntukan penyelidikan sebanyak RM20,000 telah pun diluluskan bagi tujuan penyelidikan.

“Kerajaan Negeri telah meluluskan RM20,000 tapi itu tidak termasuk kos tapak galeri, supaya kerja-kerja (penyelidikan arkeologi) disiapkan dengan baik.

Hadir sama dalam lawatan ke tapak arkeologi itu ialah Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy.

Ini merupakan hari terakhir sebelum semua rangka manusia purba dan bahan-bahan fosil lain dipindahkan ke Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), Universiti Sains Malaysia (USM).

Menurut Pengarah PPAG, USM, Prof. Datuk Dr. Mokthar Saidin, berdasarkan penemuan gigi dan rangka yang ditemui, ianya dipercayai milik seorang wanita dan memerlukan pengesahan lanjut.

Menurut beliau, dalam tempoh dua minggu terakhir, pasukannya berharap agar dapat menemui beberapa lagi rangka purba sebelum kerja-kerja penyelidikan arkeologi di sini dihentikan kelak.

Penemuan peninggalan bersejarah seperti tembikar dan cengkerang pada 17 April lalu dipercayai dari Zaman Neolitik yang berusia kira-kira lebih 5,000 tahun. –Roketkini.com