Berita

Tony Pua disiasat polis, telefon bimbit dirampas

KUALA LUMPUR, 26 APR: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee hari ini tampil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman setelah polis mengeluarkan arahan semalam.

Keterangan sekitar 80 minit dari Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu diambil ekoran rakaman video berhubung skandal 1MDB melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam sesi parlimen lalu dimuat naik di Facebook bertajuk “BN Govt Abandons all Bills to give precedence to PAS’ RUU355 Private Member’s Bill”.

Setelah disiasat sekitar 11.40 pagi, beliau kemudian dibawa keluar dengan kenderaan polis untuk mengambil telefon bimbitnya kata peguam Tony, Lim Lip Eng.

Menurut Lip Eng, kes disiasat di bawah seksyen 500 Kanun Keseksaan melibatkan jenayah fitnah.

Pada 11 April lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui peguamnya Datuk Mohd Hafarizam Harun telah menyerahkan surat tuntutan kepada Tony untuk menarik segala dakwaan terhadap anak guamnya yang dirujuk sebagai ‘kleptokrat’.

Bagaimana pun, Tony kekal dengan pendiriannya tidak tunduk kepada tuntutan itu.

“Saya berpegang kepada kenyataan saya sebelum ini. Jadi, saya tidak akan tarik balik kenyataan itu atau memadam rakaman tersebut.

“Saya juga tidak akan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Perdana Menteri mahupun bayar ganti rugi kepada Datuk Seri Najib Razak,” kata Tony dalam kenyataan sebelum ini.

Ekoran itu, Najib pada Jumaat lalu telah memfailkan sama terhadap Tony di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Tegasnya, apa yang didedahkan beliau dalam video tersebut adalah fakta sebenar yang tidak boleh dipertikaikan lagi.

Sebaliknya, orang yang didakwa melakukan kesalahan itu, Najib Razak pula tidak pernah menafikan atau mempertikaikan fakta yang didedahkan oleh The Sarawak Report dan The Wall Street Journal sebagaimana yang disahkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ). – Roketkini.com