Berita

Guan Eng cabar Seksyen 62 Akta SPRM kerana bercanggah Perlembagaan

GEORGE TOWN, 28 APR: Tidak timbul soal melengahkan perbicaraan seperti yang didakwa pengulas pro-kerajaan dalam tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mencabar kesahihan Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pegawai Khas Undang-Undang kepada Ketua Menteri, Raja Syarafina Raja Shuib berkata, Guan Eng sebagai pihak tertuduh mencabar peruntukan akta berkenaan ekoran dakwaan ia bertentangan dengan prinsip Perlembagaan negara.

Seksyen 62 Akta SPRM yang menetapkan tertuduh perlu menyerahkan antara lain pernyataan pembelaan kepada pihak pendakwaan sebelum perbicaraan, menurut Raja Syarafina, bercangah dengan prinsip ‘tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya’.

“Tidak wujud apa-apa undang-undang yang mengharuskan pihak pendakwa untuk mengemukakan kes dan keterangan yang akan digunakan oleh mereka sebelum bicara.

“Mengapa pula wujudnya ketidakadilan yang memaksa tertuduh berbuat demikian di bawah Seksyen 62 Akta SPRM?” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mahkamah Rayuan Putrajaya semalam menangguhkan pendengaran kes pada 19 Julai depan bagi rayuan Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP mencabar Seksyen 62 Akta SPRM. Rayuan dibuat setelah Mahkamah Tinggi menolak petisyen berhubung perkara itu sebelum ini.

Mengulas lanjut, Raja Syarafina berkata, beban pembuktian adalah sentiasa di pihak pendakwa dan ia melanggar prinsip jika peruntukan undang-undang itu memaksa tertuduh menyerahkan penyataan serta dokumen untuk menyokong pembelaan sebelum kes bermula.

“Malah, seorang tertuduh tidak perlu membentangkan apa-apa pembelaan langsung – perbicaraan kes boleh dijalankan semata-mata untuk menguji kekuatan dan kebolehterimaan keterangan pihak pendakwa.

“Beban pembuktian melampaui keraguan munasabah adalah sentiasa terletak di bahu pihak pendakwa dan sekiranya pihak pendakwa gagal melepaskan beban tersebut, tertuduh harus dilepaskan tanpa pembelaan beliau dipanggil,” jelasnya.

Apabila tertuduh dikehendaki untuk mengemukakan pernyataan pembelaan dan keterangan sebelum perbicaraan bermula, katanya lagi, ia akan memberikan kelebihan yang tidak adil kepada pihak pendakwa.

“Ternyata tertuduh akan diprejudiskan apabila pihak pendakwa berpeluang untuk menggunakan pembelaan dan keterangan pembelaan dalam menguatkan kes pihak pendakwa atau mengatasi kelompangan yang wujud dalam kes pihak pendakwa,” ujarnya. – Roketkini.com