Berita

Tidak seinci hutan simpan kekal Pulau Pinang disentuh

GEROGE TOWN, 30 APR: Pulau Pinang boleh menjadi negeri contoh pemuliharaan hutan dan alam sekitar apabila tidak pernah menebang hutan simpan kekalnya sejak tahun 2006 sehingga saat ini.

Apa yang membanggakan, kerajaan negeri yang diterajui Pakatan Harapan telah mengambil inisiatif menanam lebih daripada 271,000 pokok setelah mengambil alih pentadbiran negeri dari Barisan Nasional.

Merujuk kepada statistik Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia tahun 2006 sehingga 2015, negeri Pahang mencatat penebangan Hutan Simpan Kekal (HSK) tertinggi dengan 161,379 hektar, Kelantan 157,919 hektar, Perak pula sebanyak 74,032 hektar manakala Pulau Pinang mencatatkan ‘0’ hektar.

“Pulau Pinang boleh rasa megah kerana merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang tidak menarah atau menyentuh seinci persegi pun hutan simpan kekalnya sejak tahun 2006.

“Itulah salah satu sebab utama mengapa Pulau Pinang berjaya memastikan bekalan air yang mencukupi.

“Kejayaan menjadi satu-satunya negeri yang tidak pernah menjalankan catuan air ialah kerana kawasan tadahan air diwartakan dan hutan simpan kekal dijaga sehingga empangan air di Pulau Pinang adalah penuh,” kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena istiadat mengangkat sumpah pelantikan Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Bin Haji Abbas.

Selain pemuliharaan hutan, Pulau Pinang juga telah mencapai kadar kitar semula paling tinggi di negara ini dengan jumlah 32 peratus berbanding dengan purata negara sebanyak 10.5 peratus.

Setiausaha Agung DAP itu juga menegaskan bahawa Pulau Pinang adalah negeri pertama menentang loji tenaga kuasa nuklear di Malaysia. –Roketkini.com

*Kredit grafik: Facebook CM Lim Guan Eng