Berita

Jaminan pada Batu Sumpah Keningau perlu dimartabatkan – Dr Edwin Bosi

KOTA KINABALU, 4 MEI: Pengiktirafan Kerajaan Persekutuan terhadap Batu Sumpah Keningau sebagai Objek Warisan adalah hasil daripada kerja keras DAP Sabah melalui kempen Gerakan Batu Sumpah yang ditubuhkan pada tahun 2014.

Menurut Ketua Majlis Perundingan Orang Asal DAP Sabah, Dr Edwin Bosi, selain pengiktirafan, apa yang terpenting ialah tiga jaminan Kerajaan Persekutuan kepada rakyat Sabah yang terpahat pada Batu Sumpah tersebut.

Tiga jaminan kerajaan itu ialah ‘Agama bebas di Sabah’, Tanah-tanah dalam Sabah dikuasai oleh Kerajaan Sabah’, dan ‘Adat istiadat Anak Rakyat Sabah dihormatkan dan dipelihara oleh kerajaan’.

Dr Edwin Bosi, Timbalan Pengerusi DAP Sabah, ADUN Kepayan

“DAP Sabah telah berjaya membangkitkan semangat batu sumpah hingga ia telah diisytiharkan sebagai objek warisan kebangsaan.

“Yang penting, DAP telah memastikan bahawa perkataan ‘Kerajaan Malaysia Jamin’ dikembalikan dalam plak Batu Sumpah.

“Bagaimanapun, jaminan pertama iaitu ‘agama bebas di Sabah’ adalah penting bagi semua rakyat di Sabah,” kata ADUN Kepayan itu ketika dihubungi Roketkini.

Batu Sumpah Keningau pernah mencetuskan kontroversi apabila perkataan ‘Kerajaan Malaysia Jamin’ yang terpahat pada plak asal itu disedari hilang dan ditemui setelah satu laporan polis dibuat oleh DAP Sabah pada Julai 2015.

Plak asal yang ditemui semula itu kemudian diserahkan kepada polis sebelum diberikan kepada pihak muzium.

Batu Sumpah Keningau didirikan pada 31 Ogos 1964 setahun selepas pembentukan Persekutuan Malaysia sebagai dasar kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan intipati 20 Perkara yang merujuk hak istimewa penduduk peribumi Sabah.

Antara program kempen Gerakan Batu Sumpah DAP Sabah

Melalui kempen Gerakan Batu Sumpah, DAP Sabah berjaya mendirikan sekurang-kurangnya sembilan replika batu sumpah di beberapa daerah seperti Penampang, Merotai, Keningau, Tenom, Inanam, Sook dan Matunggong.

Keputusan kerajaan untuk mengiktiraf Batu Sumpah Keningau telah diumumkan oleh Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nazri Aziz ketika menjawab soalan parlimen Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong Sze Phin pada 16 November 2015 .

Selain itu, gesaan supaya Kerajaan Persekutuan mengiktiraf Batu Sumpah Keningau telah banyak kali diutarakan oleh Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong Sze Phin dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang sejak tahun 2012.

Terkini, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah mengumumkan peruntukkan RM1.025 juta bagi projek pemindahan dan penempatan semula Batu Sumpah Keningau.

Peruntukan itu katanya turut membabitkan kerja pemindahan Batu Sumpah, pembinaan laluan jalan baru, plaza, tempat letak kereta dan beberapa kemudahan lain. -Roketkini.com