Berita

Pesawah di Tulid bimbang empangan dan jambatan rosak tidak dibaiki

PENSIANGAN, 9 MEI: Kerajaan negeri di minta segera membaiki empangan sistem pengairan sawah di Tulid yang musnah akibat banjir besar yang berlaku si sungai Sook bulan lalu.

Ini kerana, kerosakan pada empangan tersebut menjadi kebimbangan segelintir petani yang akan memulakan penanaman semula padi pada bulan Jun nanti.

Justeru, empangan pengairan sawah yang diselia oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri itu turut diminta mempercepatkan pembaikan memandangkan ianya merupakan stuktur saliran utama bagi pesawah untuk meyalurkan air ke sawah mereka.

Adrian Lasimbang, Penyelaras DAP Pensiangan, Pengarah Pendidikan Politik DAP Sabah.

Penyelaras DAP Pensiangan, Adrian Lasimbang yang meninjau kawasan empangan tersebut mendapati, stuktur benteng empangan telah musnah manakala saluran masuk air ke empangan tersebut juga tertimbus dan dipenuhi dengan sisa kayu dan pokok besar yang hanyut sewaktu banjir berlaku.

“Kerajaan negeri harus memandang serius perkara ini dan kita harap ada tindakan dan peruntukan khas di keluarkan untuk proses kerja-kerja pembaikan dengan segera.

“Ini kerana memandangkan keadaan empangan rosak teruk sudah tentu memerlukan masa yang lama untuk membaik pulis semula empangan tersebut”, tegas Adrian.

Menurut Pengarah Pendidikan Politik DAP Sabah itu, wakil rakyat kawasan tersebut juga diminta turun padang dan melihat sendiri masalah yang berlaku dan sekurang-kurangnya menyediakan pelan jangka masa pendek bagi menyediakan satu saliran lain untuk kegunaan petani buat sementara waktu sehingga selesai kerja-kerja pembaika.

Adrian menyuarakan kebimbangan itu kerana selepas Hari Kaamatan, para petani akan memulakan penanaman semula padi pada bulan Jun.
“Jika masalah ini tidak diatasi, ia pasti akan menjejaskan semua petani yang bergantung kepada empangan itu sebagai punca penyaliran air sawah mereka,” katanya lagi.

Adrian turut menyeruh wakil rakyat di kawasan itu agar segera membaiki jambatan utama kampung tersebut kerana struktur cerucuk jambatan tersebut yang tidak stabil mengakibatkan jambatan itu tidak lagi selamat digunakan oleh kenderaan berat. –Roketkini.com