Berita

Adakah Najib Razak gagalkan penjualan saham Bandar Malaysia?

KUALA LUMPUR, 11 MEI: Adakah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merupakan individu di sebalik keputusan pembatalan perjanjian penjualan saham (SSA) bagi projek pembangunan Bandar Malaysia antara TRX City Sdn Bhd dengan sebuah konsortium baru-baru ini?

Persoalan ini dibangkitkan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee memandangkan Arul Kanda yang merupakan bekas anggota lembaga pengarah Bandar Malaysia dan TRX City, tidak dimaklumkan mengenai keputusan pembatalan tersebut.

Tambahan pula, kata Tony, pemecatan Arul Kanda sebagai anggota lembaga pengarah kedua-dua syarikat berkenaan diputuskan Najib selaku Menteri Kewangan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

“Jika benar, ia harus dijelaskan kerana kuasa apa yang ada kepada Menteri Kewangan untuk membuat keputusan kritikal bagi syarikat yang dimiliki kerajaan secara unileteral (sehala), dengan melangkaui kuasa lembaga pengarah?

“Adakah Najib menyalahgunakan kuasanya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan bagi membatalkan perjanjian tersebut?” kata Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan dalam kenyataan, hari ini.

SSA antara TRX City dengan konsortium Iskandar Waterfront Holdings (IWH)-China Railway Engineering Cooperation (CREC) pada 31 Disember 2015 bagi menjual 60 peratus ekuiti Bandar Malaysia tidak menjadi kenyataan apabila perjanjian itu mencapai tarikh luputnya.

TRX City yang dimiliki Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) mendakwa IWH-CREC gagal membuat pembayaran seperti yang digariskan dalam perjanjian tersebut walaupun diberi tempoh lanjutan untuk berbuat demikian.

Bandar Malaysia yang sebelum ini diletakkan di bawah bidang kuasa 1MDB dipindahmilikkan kepada MoF Inc.

Perjanjian berkenaan sebelum ini diuar-uarkan sebagai sebahagian daripada pelan rasionalisasi 1MDB bagi tujuan mengurangkan hutang syarikat pelaburan negara itu. – Roketkini.com