Berita

Isu pekerja asing Forest City: Kerajaan digesa ambil tindakan tegas terhadap majikan

*Kredit foto Malaysiakini (Andrian Wong)

JOHOR BAHRU, 11 MEI: Kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) digesa mengenakan tindakan tegas terhadap majikan yang didakwa memperdagangkan dan mengeksploitasi pekerja asing tanpa izin untuk bekerja di negara ini.

Gesaan ini dibuat Adun Senai, Wong Shu Qi berikutan laporan khas portal berita, Malaysiakini yang mendedahkan bahawa sejumlah besar pekerja asing tanpa izin dari China yang bekerja di tapak projek Forest City di Johor tidak dibayar gaji.

Ratusan warga China yang memasuki Malaysia dengan pas lawatan sosial melalui ejen mereka dilaporkan terpaksa meninggalkan negara ini selepas menyedari bahawa mereka terpaksa bekerja secara haram dan dibayar kurang daripada yang dijangkakan.

Ekoran perkembangan itu, Shu Qi bimbang kedudukan Malaysia yang ketika ini berada di Tier-2 dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) mengenai Perdagangan Orang akan jatuh ke Tier-3.

“Saya justeru mengesa kerajaan mengambil tindakan sepatutnya bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang di masa hadapan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Adun Senai, Wong Shu Qi

“Adalah jelas bahawa pekerja asing tak berdokumen ini datang ke Malaysia melalui penerbangan dari China ke Johor Bahru.

“Kementerian Dalam Negeri perlu melakukan penyiasatan terperinci dan penguatkuasaan agar mereka tidak menetap lebih tempoh menggunakan visa pelawat.”

Shu Qi yang juga Setiausaha Publisiti DAP Johor turut menggesa kerajaan menguatkuasakan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2015 bagi menyediakan perlindungan awal kepada pekerja asing tanpa izin yang diperdangangkan atau dieksploitasi.

“Dalam keadaan ini mereka patut dilayan sebagai mangsa pemerdangangan orang.

“Seksyen 66(A) dan 66(B) misalnya, menyediakan pampasan kewangan, termasuk gaji, yang akan dibayar kepada orang yang diperdagangkan sama ada sabitan (undang-undang) dikenakan atau tidak (terhadap majikan),” katanya.

Justeru, mengikut akta itu, katanya, pekerja asing tanpa izin yang diperdagangkan dan dieksploitasi oleh majikan mereka berhak diberikan pampasan kewangan dalam apa keadaan pun.

“Kita tidak harus membiarkan pekerja yang dieksploitasi ini berterusan sengsara sementara kerajaan mengambil tindakan undang-undang terhadap majikan mereka,” ujarnya. – Roketkini.com